May 18, 2024

Video lama calon DAP kritik BN, Zahid mahu ‘buku lama’ ditutup


PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) dan UMNO mengambil pendekatan ‘tutup buku lama’ terhadap video dan hantaran kritikan yang dibuat calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Pang Sock Tao terhadap parti itu sebelum ini.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika mengambil kira perkara lampau banyak video dan hantaran di media sosial yang boleh ditularkan semula kepada pihak lawan.

“Kalau video lama, memang banyak video yang begitu. Parti lain pun begitu juga. Ada sebuah video oleh pemimpin parti Islam minta sokong DAP. Itu pun boleh dimainkan.

“Tetapi realiti politik, suasana telah berubah, senario politik telah berubah pada hemat saya kita tutup buku lama, kita buku baru dalam hal ini,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas ada pihak yang menularkan semula video dan hantara lama beliau di media sosial yang mengutuk Barisan Nasional (BN).

Video itu turut dikongsikan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon di laman media sosialnya.

Sementara itu Ahmad Zahid menasihatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menumpukan kepada amal ibadat.

Ini selepas bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu menjangkakan Sock Tao akan menang dalam PRK nanti.

“Itu pendapat beliau, saya ingat eloklah beliau menumpukan kepada amal ibadat sahaja,” katanya yang ditemui pada Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Timbalan Perdana Menteri yang diadakan dikediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini hari ini.

Media melaporkan, Dr. Mahathir meramalkan DAP akan menang PRK KKB kerana undi pengundi Melayu berpecah.

Mahathir berkata, kemunculan parti-parti serpihan Melayu telah memecahkan undi pengundi Melayu.

“Jumlah pengundi di situ lebih ramai Melayu daripada Cina tetapi Melayu berpecah. Cina bersatu. Jadi kemungkinan ialah DAP menang,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

DUN KKB merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46%, pengundi Cina 30%, pengundi India 18%, dan lain-lain 5%.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top