Wakil Carrick mulakan perbincangan

Wakil Carrick mulakan perbincangan


London: Wakil jurucakap bersama ejen Michael Carrick dilaporkan sudah memulakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Manchester United berkenaan jawatan tetap yang bakal ditawarkan kepada Carrick.

Difahamkan, perbincangan itu tertumpu kepada soal kontrak serta jumlah gaji yang bakal diterima bekas pemain United itu yang berlangsung di Carrington.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perbincangan itu masih dirahsiakan dan rundingan rasmi berkaitan terma kontrak difahamkan belum dimulakan.

Pengurusan tertinggi United ketika ini meletakkan Carrick sebagai keutamaan utama untuk mengisi jawatan berkenaan, namun dalam masa sama masih membuka pintu kepada beberapa calon lain bagi menghadapi musim depan.

United hanya berbaki dua perlawanan sebelum musim berakhir dan pihak pengurusan mahu proses pelantikan diselesaikan segera menjelang jendela perpindahan pemain yang dianggap cukup penting.

Pengarah bola sepak, Jason Wilcox bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada dilaporkan menjadi individu utama yang menyokong Carrick untuk dilantik secara tetap kepada pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe.

Carrick, 44, sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan sejak berjaya membawa pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara menerusi prestasi cemerlang sebagai pengendali sementara.

Sepanjang mengemudi pasukan, Carrick berjaya mencatat 10 kemenangan daripada 15 perlawanan selain hanya tewas dua kali untuk membantu United melonjak daripada tangga ketujuh ke tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengurusan di Old Trafford juga dikatakan cukup tertarik dengan pengaruh Carrick dalam bilik persalinan selain cara beliau mengendalikan media sepanjang tempoh berkenaan.

Namun begitu, United menegaskan masih belum ada sebarang persetujuan rasmi dicapai dengan mana-mana jurulatih untuk mengendalikan pasukan musim depan.

Carrick turut mencuri perhatian apabila membawa United menewaskan pencabar kejuaraan seperti Manchester City dan Arsenal sebelum rekod tanpa kalah tujuh perlawanan berakhir di tangan Newcastle United pada Mac lalu.

Bekas pengendali Middlesbrough itu bagaimanapun membuktikan kemampuannya bangkit semula apabila meraih kemenangan penting ke atas pencabar slot Liga Juara-Juara seperti Aston Villa, Chelsea dan Liverpool.

Malah, Carrick turut tersenarai dalam enam calon akhir anugerah Pengurus Terbaik EPL bersama Pep Guardiola dan Mikel Arteta.

Turut tercalon ialah pengendali Bournemouth yang bakal meninggalkan kelab itu, Andoni Iraola selain Keith Andrews dari Brentford dan Regis le Bris dari Sunderland.

Iraola sebelum ini antara nama yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Carrick, namun difahamkan beliau kini tidak lagi berada dalam radar United.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top