KUALA LUMPUR: Ketiadaan dalam skuad Piala Thomas dan Uber memberi ruang buat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadikan tempoh tersebut sebagai medan membina semula prestasi terbaik menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters minggu depan.
Menurut Tang Jie, tempoh kira-kira sebulan tanpa kejohanan besar dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi fokus kepada latihan selain membolehkannya menjalani proses pemulihan kecederaan dengan lebih baik.
Katanya, dia berdepan tempoh agak sukar selepas mengalami kecederaan sebelum Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China April lalu dan situasi menjadi lebih mencabar apabila kecederaan sama kembali berlaku sebaik sahaja dia kembali ke gelanggang.
“Walaupun tidak menyertai Thomas dan Uber, kami tetap fokus latihan untuk cari prestasi terbaik tahun ini. Ini juga kecederaan baharu untuk saya, saya memang belum pernah alami sebelum ini.
“Jadi memang agak sukar sedikit apabila berdepan situasi ini. Akan tetapi, ya, sekarang saya rasa lebih baik,” katanya selepas Majlis Anugerah SAM 2024 di sini, kelmarin.
Tang Jie bagaimanapun menghargai sokongan diberikan Ee Wei yang meminta dia memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan sebelum kembali menjalani latihan dan pertandingan.
“Waktu itu memang saya rasa agak sukar, tetapi saya sangat menghargai pasangan saya yang meminta saya pulih sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang. Dalam tempoh sebulan ini memang bukan mudah untuk kami berdua,” katanya.
Sementara itu, Ee Wei berkata semangat untuk bangkit dan memburu keputusan lebih baik terus menjadi pendorong utama beliau bersama Tang Jie menjelang aksi di Kejohanan bertaraf Super 500 itu.
“Ini antara motivasi kami untuk terus melangkah ke hadapan dan berharap dapat mencatat keputusan yang lebih baik pada masa depan.
“Untuk Malaysia Masters juga sama, kami berharap dapat memberikan yang terbaik dan menghadiahkan sesuatu yang membanggakan Malaysia, terutama apabila bermain di laman sendiri,” kata Ee Wei. – UTUSAN






