nurul_husna@mediaprima.com.my
IBARAT kembali ke zaman silam. Itu yang dirasai penulis sebaik meneliti rekaan hasil sentuhan pereka, Shabri Saad.
Shabri menghasilkan lapan rekaan dalam ‘NOUVORA Fashion Show’ menerusi koleksi dinamakan ‘Seroja’.
Meskipun pertunjukan fesyen itu platform bagi projek penuntut tahun akhir ijazah sarjana muda rekaan fesyen Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Shabri yang juga pensyarah kanan jurusan itu menampilkan rekaan bertaraf profesional.
“Saya diberi ruang untuk tampil bersama penuntut kali ini mengetengahkan pakaian dan fabrik warisan yang semakin dilupakan.
“Kesedaran untuk menghidupkan kembali busana zaman silam menerusi Seroja dibuat atas rasa tanggungjawab mengangkat keindahan dan kehalusan seni kerja tangan orang dahulu dalam pembuatan pakaian fabrik.
“Malah, saya gembira apabila rekaan saya menonjol bersama lebih 160 rekaan yang rata-ratanya rekaan kreatif moden,” katanya.
Kematangan Shabri cukup jelas dalam rekaan busana klasik itu apabila menampilkan pengalamannya selama 20 tahun dalam dunia fabrik dan tekstil tempatan.
“Ia rekaan berdasarkan inspirasi orang dahulu membabitkan persalinan bangsawan dan rakyat. Penggunaan materialnya juga mengambil kira motif zaman itu.
“Malah, saya tampilkan model dengan persalinan ketrampilan seolah-olah ‘Cik Siti Wan Kembang’, pahlawan istana mahupun inspirasi pakaian rakyat zaman itu,” katanya.
Menurutnya, kain yang diguna pakai bagi melengkapkan koleksi persembahan berkenaan juga ada yang sudah berada pada tahap antik.
“Saya gunakan kain koleksi peribadi seperti kain puncha potong (kain lama), Songket Temasik era 1950-an, Songket Limar selain kain batik lukis dan terap,” katanya.
Tambah Shabri, dia puas kerana dapat menampilkan koleksi busana silam itu untuk dipertontonkan kepada generasi masa kini.
“Saya juga pertontonkan sesuatu yang juga penting membabitkan motif alam Melayu yang banyak mengangkat flora dan fauna.
“Antara busana yang menarik termasuk songket bermotif mahkota raja, corak beragi kain puncha potong dan limar bersongket,” katanya.
Menurut Shabri, antara cabarannya dalam pertunjukan berkenaan ialah perlu memastikan fabrik lama kekal terpelihara sepanjang acara.
“Bukan itu sahaja, malah saya perlu teliti ketika menghasilkan busana selain penggayaan oleh model.
“Saya juga perlu memikirkan karakter atau penjiwaan model yang mengenakan busana agar ia tampak semula jadi sewaktu melangkah di pentas,” katanya.
Shabri berkata, pesona pemakai busana tradisional cukup menyerlah daripada segi kesantunan dan kewibawaannya.
Katanya, jika mengenakan busana, terutama fabrik warisan yang lama seperti songket dan batik tenunan tangan, ia secara semula jadi menonjolkan sisi elegan dan mewah pemakainya.
“Menerusi pakaian, orang sekeliling boleh rasa sendiri perbezaan sama ada ia pakaian harian biasa atau busana moden.
“Pemakai busana tradisional ini secara tidak langsung menggambarkan budaya dan cara orang dahulu bertingkah agar kekal santun dan sopan,” katanya.
Shabri juga berharap, generasi kini lebih memandang tinggi busana silam dan menghargai nilai estetik tinggalan orang dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






