Walau tidak lagi ‘cantik’ di mata mereka tetapi saya masih individu yang sama – Fathia Latiff

Walau tidak lagi ‘cantik’ di mata mereka tetapi saya masih individu yang sama – Fathia Latiff


KUALA LUMPUR: Pelakon, Fathia Latiff, 38, mengakui dirinya masih lagi individu yang sama seperti dahulu meskipun ada segelintir pihak menganggap dirinya tidak lagi ‘jelita’ di mata mereka.

Luahan itu dibuat Fathia menerusi satu hantaran di Threads yang turut menyaksikan pelakon ini mengakui sedar penampilannya tidak lagi sama seperti dahulu.

Bagaimanapun,katanya, itu bukan sesuatu yang harus dipandang serong kerana perubahan adalah lumrah kehidupan.

“Saya tahu penampilan saya telah berubah. Saya bukan lagi seperti dahulu. Dan saya pernah terdengar cakao-cakap belakang, komen dan penilaian daripada mereka yang tidak tahu apa yang saya lalui,” katanya.

Selain itu, pelako. drama Ariana Rose itu menegaskan bahawa dia tidak dilahirkan untuk kekal sama.

“Kita semua berubah dan begitu juga saya.
Kecantikan bukan lagi pada wajah yang saya miliki dahulu.

“Tetapi pada cara saya bertahan, pada bagaimana saya terus melangkah walaupun dunia cuba menjatuhkan saya.

“Walaupun saya tidak lagi ‘cantik’ pada pandangan mereka, saya tetap diri saya sendiri. Dan itu sudah memadai,” luahnya.

Terdahulu, Fathia melayangkan pertanyaan di platform yang sama kepada warganet mengenai isu perubahan penampilan.

“Siapa rasa rupa paras dia bertukar apabila kita semakin berusia?”tulisnya.

Kenyataan Fathia itu kemudiannya menarik perhatian ramai pengikut yang rata-rata memberikan kata-kata semangat dan sokongan terhadap pelakon berjiwa besar itu.

Terdahulu, Fathia pernah menjadi antara wajah popular yang menghiasi layar kaca tanah air dengan lakonan mantap dan kejelitaan semula jadi.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia sering menjadi tumpuan kerana perubahan fizikal serta keputusan peribadi yang mencetuskan pelbagai reaksi warganet. -UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top