Wanita didenda RM4,000 buat kenyataan palsu dipaksa jadi pelacur

Wanita didenda RM4,000 buat kenyataan palsu dipaksa jadi pelacur


GEORGE TOWN – Ibu kepada dua cahaya mata yang membuat kenyataan palsu beliau dipaksa menjadi pelacur oleh along dalam satu program audio siar di aplikasi TikTok didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Nurul Suhaila Baharin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua cahaya mata itu didapati dengan sengaja telah membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung rancangan ‘Heart 2 Heart’ di aplikasi TikTok akaun BGTV dengan dua lelaki sebagai hos audio dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam.

Tertuduh didenda RM4,000.

Tindakan itu juga telah mendorong pegawai penyiasat Inspektor L. Sri Vikneswaran untuk melakukan siasatan bersabit satu kurungan salah yang dilakukan tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh, Butterworth dekat sini, jam 3.30 petang pada 26 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam susulan kesalahan yang dilakukan tertuduh telah menyebabkan kegentaran dalam kalangan masyarakat selain boleh mengundang isu perkauman serta ketidakamanan dalam negara.

“Saya juga mohon hukuman dalam bentuk pengajaran kepada tertuduh supaya mesej itu sampai kepada orang awam sekali gus berhati-hati salur maklumat guna media sosial serta tidak mencontohi kesalahan tertuduh,” katanya.

Peguam, Naqieya Zulkernain dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan wanita itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,600 perlu menyara dua anak serta ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis siasat gadis dijadikan pelacur oleh sindiket along

“Mohon mahkamah melihat status kewangan tertuduh selain dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis Pulau Pinang mengesahkan dakwaan wanita tersebut yang dirinya dipaksa menjadi pelacur sejak Februari akibat bapanya berhutang dengan along adalah tidak benar.

Wanita tersebut didakwa berbuat demikian hanya kerana ingin meluahkan perasaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top