am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dan lebam di muka dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.
Abangnya, Mohd Firdaus Moktar, 45, berkata, adik perempuannya yang berusia 39 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat kecederaan yang dialami.
Mohd Firdaus berkata, adiknya berkahwin dengan lelaki berusia 43 tahun itu pada Disember tahun lalu di Thailand dan masih belum mendaftar perkahwinan mereka di negara ini.
Menurutnya, adiknya tinggal bersama suaminya di Ambangan Height, di sini, kerana bekerja sebagai penjawat awam dekat sini.
“Adik mendakwa sepanjang perkahwinan mereka, dia sering dipukul suaminya dan sebagai abang kandung, saya memang marah dan geram.
“Dalam kejadian Khamis lalu, kira-kira jam 1 tengah hari, mereka bertengkar sehingga adik saya dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah.
“Tergamak lelaki itu memukul adik saya hinggakan tangan dan jari kirinya patah, lebam di muka selain tulang rusuknya berkemungkinan patah termasuk ditumbuk di perut, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Firdaus berkata, lelaki itu turut mengugut akan mengganggu seluruh keluarganya termasuk dua anak adiknya melalui perkahwinan terdahulu.
Katanya, selain itu, lelaki itu melarikan barang kemas dan wang dalam bank milik adiknya yang keseluruhannya berjumlah hampir RM50,000.
“Adik saya masih trauma dengan kejadian itu dan buat masa ini dia masih dirawat di hospital kerana kecederaan teruk yang dialaminya.
“Esok hari lahir adik, tetapi ini yang dia dapat, hinggakan dia jadi takut, ” katanya.
Mohd Firdaus berkata, dia sudah pun membuat laporan bersama ibunya Norlelah Zainal, 64, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk memaklumkan kejadian yang menimpa adiknya itu.
Katanya, dia dimaklumkan lelaki itu turut menjadi buruan polis berikutan kejadian sama pernah berlaku di Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 / 18 Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd






