July 27, 2024

Wanita parah di dahi ditetak suami

Wanita parah di dahi ditetak suami


DUNGUN: Seorang wanita cedera parah di dahi selepas ditetak suaminya dengan sebilah parang, dalam kejadian di Ketengah Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, suspek berusia 64 tahun yang berstatus penduduk tetap itu tergamak menetak isterinya yang berusia 39 tahun dipercayai akibat cemburu.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan antara suami isteri itu dan mangsa dikatakan ada meminta cerai daripada suaminya.

“Berang isterinya mahu bercerai, suspek kemudiannya bertindak mengambil objek tajam dipercayai parang panjang dan terus menetak bahagian kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Maizura berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di kantin sekolah di daerah ini cedera parah di bahagian dahi.

“Mangsa mengalami luka di bahagian dahi sepanjang 9 sentimeter dan menerima 10 jahitan.

“Mangsa yang dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan,” katanya.

Maizura berkata, pihaknya kini sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top