July 16, 2024

Wanita UMNO Pasir Salak desak kembalikan keahlian Tajuddin

Wanita UMNO Pasir Salak desak kembalikan keahlian Tajuddin


KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Pasir Salak meluluskan usul mendesak Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Perwakilan membahaskan usul berkenaan sebelum membuat keputusan meluluskannya secara sebulat suara pada mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, hari ini.

Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datin Seri Rahayu Tajuddin berkata, usul berkenaan adalah manifestasi sokongan ahli Wanita UMNO akar umbi kepada Tajuddin.

“Dulu beliau kena ISA dan kini digantung, namun beliau tidak pernah berganjak. Kesetiaan tidak boleh dijual beli, jasa beliau sangat banyak.

“Wanita UMNO Pasir Salak memohon agar ditarik balik penggantungan keahlian ayahanda Datuk Seri Tajuddin. Kami Wanita UMNO Pasir Salak mengharai sokongan ini,” katanya dalam ucapan.

Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak dirasmikan Oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Tajuddin yang juga bekas Ketua Bahagian Pasir Salak turut hadir pada majlis yang berlangsung pagi tadi.

Mengulas lanjut, Rahayu berkata, penarikan penggantungan keahlian Tajuddin akan memperkukuhkan UMNO Pasir Salak.

Katanya, keputusan itu pastinya akan memberi kelegaan kepada penyokong setia Tajuddin di Pasir Salak.

Tajuddin sebelum ini dilapor digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 30 September 2022.

Pada 21 Julai 2023, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilaporkan berkata, sudah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun permohonannya tidak dibalas dan tidak berhasrat untuk merayu lagi.-MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top