am@hmetro.com.my
Seremban: Guru sekolah di Batu Kikir, Jempol, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun, pada 2024.
Tertuduh, Nazrulhisham Mahmud, 46, yang juga warden asrama sekolah berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berkenaan di bilik rehat warden di sekolah itu pada 18 Mei dan 12 Jun tahun lalu manakala kejadian di bilik sukan ragbi berlaku pada 25 Mei tahun lalu.
Justeru tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan tiga syarat tambahan.
Peguam, Nabila Hamzah dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon jaminan yang paling minimum kerana jaminan ikat jamin yang tinggi seolah memberi hukuman kepada tertuduh.
Katanya, tertuduh mempunyai tiga anak kecil dan menanggung ibu bapa yang uzur, walaunpun tertuduh bukan penanggung utama, tetapi memberi kesan kepada kebajikan keluarga.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport.
Sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan ditetapkan pada 16 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd





