PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha dan Bella Daily menjadi sebutan sebagai antara artis yang paling ramah melayan peminat di sebuah festival jualan hari raya yang sedang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Kuala Lumpur.
Menurut perbincangan warganet, kedua-dua selebriti yang turut mengambil bahagian sebagai usahawan di festival tersebut tidak lokek memberi senyuman selain terbuka sekiranya diajak bergambar.
“Saya pergi booth Bella Daily, dia lembut. Dia sendiri yang ukurkan badan saya sebab nak pilih baju walaupun dia ada pekerja,” tulis satu komen.
“Setiap tahun saya pergi acara ini, boleh dikatakan artis paling tidak sombong ialah Fasha Sandha. Dia peka orang lalu depan booth dia, ini yang saya nampak. Artis lain ada yang okay juga siap tawarkan kalau mahu bergambar,” kata komen yang lain.
“Fasha dari dulu memang hargai orang sekeliling, rendah diri sebab itu agaknya orang minat dia sampai sekarang,” kata satu peminat.
Bagaimanapun, peminat turut membandingkan sikap Fasha dan Bella dengan seorang artis yang dikatakan tidak mesra melayan pembeli di festival berkenaan.
Tidak menyatakan sebarang nama, artis berkenaan yang dikatakan berniaga kuih mengenakan syarat peminat perlu membeli produk jualannya sekiranya mahu bergambar.
“Saya ajak bergambar sebab suami minat dia, ehhh dia tidak layan ya. Dia kata kena beli biskut dahulu baru boleh bergambar. Saya kata dekat staff kebetulan saya juga baru lepas buat kuih raya. Staff tetap tak bagi dan artis ini terus main telefon,” luah seorang pengguna.
“Fasha buka booth ramai juga yang beratur bergambar walau tak beli, dia okay sahaja. Sama juga dengan adik beradik The Melvins,” kata komen yang lain.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat setiap artis mempunyai pemasaran masing-masing. Logik sahaja sekiranya artis mengenakan syarat tertentu untuk melariskan jualan.
“Betul tindakan artis itu, sama macam pergi konsert kalau nak jumpa artis depan-depan kena bayar lebih. Lainlah terserempak dekat tempat awam,” tulis warganet.
“Memang dulu kena beli barang dulu baru boleh bergambar. Mungkin itu cara mereka berniaga, penat agaknya kalau nak layan semua orang. Tapi itu dulu, sekarang saya tak pasti,” tambah pendapat yang lain. -UTUSAN