July 27, 2024

Wartawan media Tamil didakwa jadi sasaran serangan ahli politik

Wartawan media Tamil didakwa jadi sasaran serangan ahli politik


KUALA LUMPUR – Persatuan Wartawan India Malaysia (MIJA) mahu bertemu dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ekoran beberapa wartawan portal Tamil dikatakan menjadi mangsa serangan fitnah oleh pemimpin dan ahli politik.

Presidennya, Gunalan Maniam terkilan dengan tindakan seorang pemilik akhbar Tamil tempatan yang didakwa menerbitkan artikel berbaur fitnah selain membuat ugutan saman ke atas pemberita akhbar dan portal Tamil.

Malah beliau juga menyatakan kekecewaan apabila tiga portal media Tamil dihantar notis saman oleh seorang pemimpin wanita dari parti politik.

“Kalau dulu, situasi dan kecaman peribadi sebegini tidak pernah wujud sama sekali tetapi di bawah kerajaan Madani penulis akhbar Tamil dan portal diserang secara peribadi tanpa asas yang mana ini merupakan satu tindakan memalukan dan tidak profesional.

“Tindakan biadap penulis itu yang menghina wartawan Tamil dengan perkataan hina atau jijik tidak boleh dimaafkan sama sekali dan Fahmi harus melakukan sesuatu untuk menghentikan sebarang bentuk serangan peribadi sebegini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, dua wartawan Tamil, P. Puvaneswaran dan M. Pavalam telah membuat satu laporan polis mendesak siasatan ke atas pemilik akhbar Tamil tersebut.

Puvaneswaran (depan dua dari kiri) dan Pavalam (berbaju merah) bersama Presiden Persatuan Wartawan India Malaysia (MIJA) Gunalan Maniam (paling kiri) bersama laporan polis berhubung artikel sebuah akhbar Tamil tempatan dalam satu sidang media di ibu negara malam tadi.

“Saya memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas sepertimana ditulis artikel tersebut yang ternyata satu bentuk tohmahan dan berunsur fitnah,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan laporan itu sudah diterima pihaknya.

“Ya, kita ada terima (laporan polis),” katanya ringkas ketika dihubungi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top