June 24, 2024

Pimpinan akar umbi perlu terjemah mesej PM kepada rakyat – Manivanan


KUALA LUMPUR – Pimpinan peringkat akar umbi setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu terjemahkan mesej Perdana Menteri kepada rakyat agar mereka memahami rasional di sebalik setiap inisiatif yang telah dan bakal diambil.

Menurut Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin, pimpinan akar umbi dan jentera parti perlu dalam tahap bersedia untuk menyantuni dan membantu mereka yang layak mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi.

“Pendekatan yang telah, sedang dan bakal diambil kerajaan bukan bersifat populis kerana fokus utama pimpinan negara adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia bertambah baik manakala rakyat mampu hidup dalam keadaan selamat dan makmur.

“Berdasarkan maklumbalas yang saya terima peringkat akar umbi, mereka amat berharap agar langkah drastik diambil bagi membantu rakyat menghadapi bebanan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Manivanan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, langkah berani kerajaan Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani rasuah, mengatasi ketirisan dan memperkenalkan subsidi bersasar menunjukkan hasil yang memberangsangkan berdasarkan petunjuk ekonomi positif selain peningkatan bantuan untuk rakyat.

Sehubungan itu, Manivanan berkata, semua pihak perlu yakin dan terus menyokong segala usaha diambil dan membantu rakyat berhadapan kos sara hidup yang kian meningkat.

Pada masa sama, beliau berharap agensi terbabit perlu meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan manakala agensi penguatkuasaan pula perlu meningkatkan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan.

“Orang ramai juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berwajib dan segera melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang boleh menyebabkan ketirisan dan kerugian kepada negara dan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top