sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ini pertama dalam hidup saya hendak berikan hadiah kereta kepada ayah saya, Soh Goon Chup.”
Itulah luahan kegembiraan pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang ingin membalas jasa mereka selepas membantu dirinya sehingga berjaya sehingga sekarang.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah memberikan hadiah lebih besar kepada keluarganya dan hari ini, ganjaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Chery itu adalah paling istimewa kepada bapa tersayang.
“Saya rasa akan memberikan kereta ini kepada ayah saya sebagai tanda penghargaan saya kepada keluarga yang telah menjaga saya dengan baik selama ini.
“Tanpa mereka, saya tidak akan mampu berjaya sehingga ke pentas Olimpik ini.
“Ini kali pertama dalam hidup saya hendak berikan hadiah kereta kepada ayah saya dan ia paling besar saya pernah beri kepada mereka kerana sebelum ini saya hanya berikan beg dan dompet sahaja.
“Sebelum ini ayah saya ada bertanya tentang kereta ini, tetapi saya belum beritahu dia kerana saya mahu memberi kejutan kepada dia,” katanya.
Pada masa sama, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berharap ganjaran diterimanya itu akan membangkitkan semangat untuk dirinya memburu lebih banyak kejayaan dalam kejohanan akan datang.
Terdahulu, Aaron Chia dan Wooi Yik menerima durian runtuh menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) iaitu RM100,000 dan sebuah SUV Chery bernilai RM123,800 setiap orang.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
© New Straits Times Press (M) Bhd