Barcelona: Bintang Sepanyol, Lamine Yamal mengalami kecederaan hamstring, namun dijangka sempat pulih untuk menghadapi kempen Piala Dunia akan datang, umum kelabnya, Barcelona, hari ini.
“Ujian mengesahkan pemain pasukan utama, Lamine Yamal, mengalami kecederaan hamstring di kaki kiri.
“Dia akan menjalani rawatan konservatif. Lamine Yamal akan terlepas baki musim ini dan dijangka kembali cergas untuk Piala Dunia yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun ini,” menurut kenyataan Barca.
Sepanyol membuka kempen Kumpulan H menentang Cape Verde pada 15 Jun sebelum berdepan Arab Saudi pada 21 Jun, dan menutup saingan kumpulan menentang Uruguay enam hari kemudian.
Yamal mengalami kecederaan itu ketika membantu Barcelona mencatat kemenangan 1-0 ke atas Celta Vigo dalam aksi La Liga.
Pemain remaja sensasi Sepanyol itu, yang sudah menjaringkan enam gol dalam 25 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak debut pada 2023, memenangi dan menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan tipis di laman sendiri.
Namun, selepas menewaskan Ionut Radu menerusi sepakan penalti, Yamal terus menunjukkan tanda kesakitan, meminta rawatan dan terbaring di atas padang ketika rakan sepasukan datang meraikan jaringan itu.
Pemain sayap kanan itu kemudian digantikan oleh Roony Bardghji.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona kini mendahului sembilan mata di puncak liga mengatasi Real Madrid dengan enam perlawanan berbaki, termasuk aksi El Clasico pada 10 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd






