London: Juara triathlon Olimpik Alex Yee merancang untuk berlari dalam Maraton TCS London 2025, yang akan menjadi penampilan pertamanya pada jarak 42.2 kilometer (km), menambah satu lagi pencapaian sukan ke dalam rekod cemerlangnya.
Atlet berusia 26 tahun dari Britain ini menghasilkan salah satu detik yang paling meninggalkan kesan di Olimpik Paris apabila dia mengetepikan Hayden Wilde dari New Zealand pada minit terakhir untuk meraih emas dalam satu penamat luar biasa selepas ketinggalan di belakang pesaingnya sepanjang kebanyakan perlumbaan.
Yee bertanding untuk Britain dalam acara trek dan merentas desa dan dinobatkan sebagai juara 10,000 meter negara itu pada 2018.
“Menyertai Maraton TCS London adalah keputusan yang mudah bagi saya,” kata Yee, yang dilahirkan dan dibesarkan di London.
“Ia adalah acara yang memberi saya banyak kenangan. Hari Maraton London menjadi sebahagian besar dalam hidup saya sewaktu membesar.”
“Saya ingat pernah berlumba dalam Maraton Mini London beberapa kali semasa saya masih muda, dan itu adalah salah satu perlumbaan yang paling besar dan paling mendebarkan setiap tahun.”
“Mengambil bahagian dalam maraton penuh sentiasa menjadi impian saya, dan tiada tempat lain selain London yang saya ingin memulakan perjalanan itu.”
Beberapa hari selepas meraih emas di Paris, dia menambah satu lagi pingat gangsa dalam acara berganti-ganti campuran triathlon, menjadikan jumlah pingat Olimpiknya empat selepas meraih perak dalam triathlon individu dan emas dalam berganti-ganti campuran di Olimpik Tokyo 2020.
“Alex Yee adalah salah satu atlet serba boleh terbaik yang pernah dilahirkan negara ini,” kata Hugh Brasher, Ketua Pegawai Eksekutif London Marathon Events.
“Kemenangannya di Olimpik Paris akan dikenang sebagai salah satu detik paling mendebarkan dalam sejarah sukan Britain.”
Maraton London akan berlangsung pada 27 April.
© New Straits Times Press (M) Bhd