September 8, 2024

YouTuber diheret ke mahkamah kerana video 'tembak' Lamborghini

YouTuber diheret ke mahkamah kerana video 'tembak' Lamborghini


Los Angeles: Seorang YouTuber terkenal di Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan di mahkamah selepas memuat naik video di media sosial menunjukkan dua wanita melepaskan bunga api dari helikopter ke arah sebuah Lamborghini.

Portal NBC melaporkan, Suk Min Choi, yang menggunakan nama Alex Choi di media sosial, didakwa menyebabkan peletakan bahan letupan atau bahan pembakar pada pesawat.

Pertuduhan itu berpunca daripada video dimuat naik Choi pada 4 Julai tahun lalu, bertajuk ‘Memusnahkan Lamborghini Dengan Bunga Api’, menurut afidavit jenayah persekutuan yang difailkan pada Selasa di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah California Tengah .

Pihak berkuasa persekutuan berkata, Choi tidak mendapat kelulusan yang diperlukan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk merakam video itu, malah tiada lesen atau permit bahan letupan daripada Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan.

Menerusi video berdurasi hampir 11 minit itu, Choi menekan butang ‘peluru berpandu api’ dan dua wanita dalam helikopter bergerak melepaskan bunga api ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, kata afidavit itu.

“Selepas merakam aksi langsung bagi adegan permainan video fiksyen, video itu beralih ke belakang tabir menyaksikan bagaimana Choi merakam sepertiga pertama daripada video itu,” lapor dokumen mahkamah.

Choi, yang mempunyai hampir satu juga pengikut di saluran YouTube tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada Khamis.

Video itu sudah diturunkan, namun tidak jelas sama ada Choi mendapatkan khidmat peguam atau sebaliknya

Choi dibebaskan pada Khamis selepas membayar bon AS$50,000 (kira-kira RM235,813) dan satu perbicaraan dijadualkan pada 2 Julai depan.

Pada Disember, seorang inspektor dengan FAA memberitahu Pejabat Ketua Inspektor untuk Jabatan Pengangkutan bahawa video Choi sedang disiasat.

Afidavit itu memperincikan bagaimana Choi merancang rakaman video dan pergi ke Las Vegas untuk membeli bunga api kerana ia menyalahi undang-undang di California.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top