sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal para negara, Johari Mohd Nayan berpuas hati melihat anak didiknya meskipun tidak menghadiahkan pingat buat negara di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Katanya, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin sudah menampilkan aksi terbaik dalam saingan acara 3,000 meter Lelaki Individu Persuit untuk berada di tempat kelima secara keseluruhan sekali gus berada dalam kelompok pelumba elit dunia.
Jelasnya, sebelum hadir ke Paris 2024, beliau dan Yusof melakukan sedikit perubahan dalam latihan bagi memastikan anak buahnya itu berjaya dalam acara yang disertainya itu.
“Dua bulan sebelum hadir ke sini, saya melakukan sedikit pertukaran dari segi corak latihan bagi acara individu ini. Namun saya memang berpuas hati melihat persembahan dia (Yusof) berada dalam kelompok kelima terbaik dunia.
“Dengan umur masih muda, saya melihat dia ada potensi cukup besar untuk menyerlah di Paralimpik Los Angeles 2028,” katanya.
Terdahulu, Yusof yang bertanding dalam kategori C1 (Kecacatan Fizikal) tidak berjaya ke final selepas tewas kepada pelumba dari Jerman Pierre Senska dengan catatan masa 3 minit 55 saat (s).
Namun begitu, masa yang dilakukan itu berjaya memadam rekod lama yang dilakukan di Tokyo 2020 iaitu 4:01s.
© New Straits Times Press (M) Bhd