Pelakon Datin Lisa Surihani menganggap ada hikmah di sebalik suaminya, Datuk Yusry gagal rayuan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Lisa berkata dia reda suami tidak bersamanya menjadi tetamu Allah serta percaya dengan perancangan Yang Maha Esa.
BACA: Azza Akui Segan Nak Berborak Dengan Yusry, Hormat Lisa Surihani
“Walaupun kami berharap dapat memulakan perjalanan ini bersama, rayuan Abang tidak diluluskan. Namun, pasti ada kebaikannya, insya-Allah.
“Ia menjadi peringatan yang sangat menginsafkan untuk reda, bahawa setiap niat kita sentiasa tertakluk kepada perancangan Yang Maha Tinggi. Mungkin kehadirannya diperlukan untuk menjaga keadaan di rumah, demi anak-anak.
“Daddy dan Omi mereka ada untuk membantu mengurus dan menjaga mereka dengan izin-Nya sepanjang ketiadaan saya selama 45 hari. Itulah yang paling penting buat mereka. Leganya ya Rabb,” tulisnya.
Sementara itu, Lisa turut menitipkan pesanan agar peminat mendoakan kesejahteraannya sepanjang berada di sana serta pulang jiwa yang diperbaharui.
“Bismillah, semoga Allah SWT mengurniakan kepada saya dan seluruh jemaah haji, haji yang mabrur, bukan sekadar pulang dengan kelegaan, tetapi juga dengan jiwa yang diperbaharui. Allahumma Aamin. Doakan kami juga ya?” tulisnya.






