September 8, 2024

Zahid nafi fitnah syarikat

Zahid nafi fitnah syarikat



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak memburukkan nama syarikat itu, sebaliknya cuma mempersoalkan tahap keselamatan mereka yang lemah,” kata penyanyi, Zahid ketika diminta mengulas dakwaan pihak Touch n’ Go (TNG) eWallet dia memburukkan reputasi dan memfitnah syarikat berkenaan.

Zahid atau nama sebenarnya, Ahmad Zahid Baharudin, 44, berkata, dia dan isterinya, Nurul Shuhada Osman, 29, mengadakan pertemuan dengan pihak TNG eWallet untuk membincangkan kes berkenaan sebelum ini.

“Sebaliknya, kami yang dipersalahkan kerana dikatakan memberikan contoh yang buruk kepada nama syarikat itu. Saya bercakap atas apa yang berlaku pada isteri dan tidak memburukkan nama mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Juara Akademua Fantasia musim kedua (AF2) itu berkata, secara jujurnya dia mengakui kecewa selepas apa yang dibincangkan dengan pihak itu sebelum ini tidak menyelesaikan masalah isterinya yang kehilangan wang lebih RM10,000 dari akaun banknya.

“Sebenarnya, isteri saya sebagai pengguna TNG eWallet tidak buat apa-apa pun transaksi yang ada dalam aplikasi itu. Namun, kami yang dipersalahkan kerana mereka cakap kami sendiri yang sahkan transaksi itu sedangkan semua transaksi yang dilakukan bukan atas kerelaan isteri saya.

“Saya percaya kami berada di pihak yang benar dan ramai lagi rakyat Malaysia yang memberikan komen di media sosial saya juga mengalami masalah yang sama,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan undang-undang yang dikenakan terhadapnya, Zahid berkata, dia mengesahkan sudah menerima surat tuntutan (LOD) daripada syarikat berkenaan.

“Saya sudah merujuk LOD itu kepada peguam. Kami akan kumpul bukti untuk kes ini.

“Tindakan selanjutnya saya dan isteri berjumpa dengan peguam untuk meminta nasihat apa yang harus kami lakukan seterusnya untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, pihak TNG eWallet memaklumkan mereka sudah menawarkan Zahid dan isterinya untuk menjelaskan keadaan secara terbuka tetapi tidak dilakukannya.

Menurutnya, Zahid dan isteri didakwa merosakkan reputasi mereka dengan membuat kenyataan yang memfitnah dengan menyatakan bahawa TNG eWallet tidak selamat dan seolah-olah cuba menyalahkan bank yang terbabit.

Pihak TNG eWallet juga memberitahu mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis dan mengeluarkan Surat Pemberhentian kepada Zahid dan isterinya bersama log transaksi terperinci untuk penjelasan.

Terdahulu, menerusi hantaran video di TikTok dan Instagram, Zahid meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan kejadian menimpa isterinya yang kehilangan semua wangnya dalam akaun bank.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top