Zawfan, Mirwana pertaruh Dunia Indah Bersama

Zawfan, Mirwana pertaruh Dunia Indah Bersama


Cyberjaya: Nama dua kumpulan nasyid tanah air, Zawfan dan Mirwana tidak perlu diperkenalkan lagi.

Penampilan di pentas seni tanah air sejak sekian lama membuatkan mereka cukup dikenali terutama bagi peminat irama muzik kerohanian.

Zawfan dan Mirwana mempertaruhkan lagu terbaru mereka berjudul Dunia Indah Bersama.

Lagu ini membawa mesej perdamaian sekali gus mengingatkan kita semua bahawa dunia menjadi lebih baik apabila manusia saling menghormati dan memahami perbezaan.

Lirik lagu ini mendapat sentuhan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan beberapa penulis lain, termasuk Hafiz Tamizi, Zairudin Hashim dan Sirr Muhammad.

Komposisi muzik dihasilkan oleh Hafiz Tamizi dan Fadzli Radzi menyerlahkan keindahan seni sebagai medium dakwah.

Fadzli yang juga anggota Zawfan ketika ditanya mengenai tempoh menghasilkan lagu ini adalah sekitar awal tahun ini dan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan.

“Kami mulakan proses untuk buat lagu ini adalah pada Mac lalu dengan memastikan alunan muzik dan rentak yang sesuai dan perbincangan dengan Dr Zulkifli dan sebagainya. Begitupun proses rakaman dan memasukkan lagu bermula pada Mei.

“Kami berharap lagu ini akan mendapat tempat dikalangan peminat muzik,” katanya.

Bagi Hafiz salah seorang anggota Mirwana juga antara pengasas kumpulan Zawfan lagu berkenaan dihasilkan daripada bait-bait puisi yang memupuk keharmonian dan menyatukan masyarakat di tengah-tengah perbezaan.

“Lagu ini membawa mesej perdamaian yang mengingatkan kita semua bahawa dunia menjadi lebih baik apabila manusia saling menghormati dan memahami perbezaan.” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan baru-baru ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Dr Zulkifli.

Mengenai usaha menarik minat golongan muda terhadap irama nasyid harmoni pula, Hafiz berkata irama nasyid mempunyai tempat yang baik di kalangan masyarakat.

“Hasil daripada perbincangan dan sedikit dapatan kami menerusi ‘survey’ nasyid kompang-kompang ini bukanlah asing bagi anak-anak kita. Dalam waktu sekarang pun di tadika dan sekolah rendah masih menyanyikan nasyid kompang-kompang.

“Kami alhamdulillah diberi kesempatan menjadi juri di beberapa pertandingan nasyid dan masih lagi bergendangan dan vokal harmoni. Kalau nak kata jauh daripada masyarakat tidak tepat tetapi arus perdana ia agak terpinggir. Jika masyarakat ia berakar. Kita rasa ia tidak janggal atau canggung kepada anak-anak kita.” katanya.

Irama nasyid dapat dijadikan hiburan mendidik jiwa. Justeru diharap usaha ini akan menjadi aspirasi ke arah dunia lebih damai, penuh kasih sayang dan harmoni.

Lagu Dunia Indah Bersama menekankan nilai-nilai seperti menghapuskan sengketa lama dan memupuk kasih sayang, sesuai dengan tema kehidupan bersama yang damai (At-Ta’ayush).

Menerusi melodi merdu dan lirik puitis, lagu ini memupuk kasih sayang dan memperkuatkan persaudaraan.

Dunia Indah Bersama adalah hadiah kepada masyarakat, mengingatkan kita bahawa perbezaan adalah anugerah, bukan pemisah.

Lagu ini turut mendapat sentuhan susunan vokal oleh Sariman daripada kumpulan NowSeeHeart serta menampilkan gabungan suara kanak-kanak yang menjadikannya lebih harmoni.

Dirakam di Hotsound Studio, Dunia Indah Bersama mencerminkan usaha kolektif murni untuk menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat merentasi bangsa dan agama.

Ia diedarkan secara digital oleh Soofie Media dan Believe Music selain boleh didapati di semua platform digital.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top