BEREGU wanita muda negara, Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui tekad memperagakan aksi cemerlang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di China bulan depan.
Mereka yang baru digandingkan awal bulan ini amat menghargai peluang yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mahu membalas kepercayaan itu dengan keputusan positif.
Malah Su Hui juga mahu memanfaatkan platform tersebut untuk meraih lebih banyak pengalaman sebagai persediaan untuk kejohanan akan datang.
“Amat gembira dan berasa terkejut apabila dipilih. Ini kali pertama saya beraksi (BAMTC).
“Kami baru digandingkan dan akan bekerja keras untuk meningkatkan prestasi serta komunikasi di gelanggang. Ini juga peluang terbaik bagi kami buktikan sesuatu kerana beregu terkuat (Pearly Tan-M Thinaah) tidak beraksi,” katanya.
BAM pada minggu lalu memilih untuk menghantar skuad kedua ke BAMTC sebagai pendedahan pemain yang sedang meningkat naik untuk mendapatkan pengalaman di peringkat tertinggi.
Berbanding Su Hui, Zhing Yi memiliki pengalaman apabila pernah beraksi dalam acara berpasukan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tahun lalu dan ia pasti membantu mereka di BAMTC.
“Kami akan buktikan sesuatu. Saya pernah berpasangan bersama Teoh Mei Xing di BATC sebelum ini dan akan gunakan pengalaman itu di BAMTC.
“Kami mahu tampilkan aksi cemerlang dan raih kemenangan jika diberikan peluang untuk beraksi,” katanya.
Selain Zhing Yi-Su Hui, Go Pei Kee-Mei Xing juga akan beraksi bagi beregu wanita dan dijangka mereka akan menjadi pilihan pertama buat kem negara pada BAMTC nanti.
Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung di Qingdao bermula 11 hingga 16 Februari.
INFO
Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC)
* Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) ialah kejohanan dwitahunan yang dianjurkan oleh Badminton Asia (BA).
* Ia bagi menobatkan badminton pasukan campuran negara terbaik di Asia dan mula diperkenalkan pada 2017.
* Edisi 2025 berlangsung di Qingdao, China bermula 11 hingga 16 Februari.
* Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.
* Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
* BAMTC merupakan saingan kelayakan untuk ke Piala Sudirman di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei 2025.
* Malaysia sudah mengesahkan tempat berdasarkan kedudukan ranking kelima dunia.