Ziana Zain sebak terima gelaran Datuk, terkenang arwah ibu bapa

Ziana Zain sebak terima gelaran Datuk, terkenang arwah ibu bapa


am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Di sebalik senyuman menerima pengiktirafan selepas lebih tiga dekad mewarnai industri seni, penyanyi Datuk Ziana Zain menyimpan sebak apabila mengenangkan ibu bapanya yang sudah tiada untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Ziana, 58, mengakui anugerah diterimanya bukan sekadar pengiktirafan ke atas lebih 30 tahun pembabitannya dalam bidang seni, malah cukup bermakna kerana datang dari negeri kelahirannya, Melaka.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki Allah bagi. Selepas lebih 30 tahun saya berjuang dalam bidang seni ini, sekurang-kurangnya kita diiktiraf, malah dari tempat kelahiran kita sendiri.

“Saya sangat berbesar hati, sangat berbangga dan bersyukur. Anugerah ini bukan menentukan bakti, tetapi bagi saya apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab kepada peminat.

“Tapi saya rasa sedih juga kerana kedua-dua ibu bapa saya tidak dapat melihat detik ini, itu yang saya rasa sedih,” katanya.

Ziana anak kelahiran Merlimau, Melaka ditemui selepas menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Istiadat berkenaan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengiringi beliau adalah adiknya, Anuar Zain.

Ziana berkata, Melaka sentiasa dekat di hatinya dan akan terus dibawa ke mana sahaja, malah tidak pernah berasa malu untuk memperkenalkan dirinya sebagai anak kelahiran negeri bersejarah itu.

“Di mana saya berada, walau saya pergi ke mana pun, kalau orang tanya saya tetap akan bawa nama Melaka.

“Melaka di hati kita… tidak lekang. Di mana kita dilahirkan, di situlah kita. Jangan lupa di mana kita dilahirkan dan di mana bumi dipijak, di situlah asal usul kita,” katanya.

Ditanya mengenai gelaran Datuk yang kini disandangnya, Ziana mengakui masih memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan panggilan berkenaan.

“Nak biasakan itu mungkin saya ambil masa. Sekarang ini pun saya tidak tahu nak kata macam mana, rasa macam mimpi pun ada, tetapi saya sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah,” katanya.

Selain Ziana, pelakon, Shaharuddin Thamby turut menerima anugerah Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top