Ada tawaran watak ustaz, tetapi saya elak bawa yang sama – Firdaus Karim

Ada tawaran watak ustaz, tetapi saya elak bawa yang sama – Firdaus Karim


KUALA LUMPUR: Pelakon, Firdaus Karim mengakui dirinya menerima banyak tawaran untuk menjayakan watak sebagai ‘penunggang agama’ selepas kejayaan drama Doa Yang Terlindung musim pertama.

Menurut Firdaus, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif, namum memilih untuk tidak ‘mengitar semula’ watak yang sama demi menjaga mutu lakonannya serta kualiti naskhah sesebuah produksi.

“Bagi saya, sebelum dan selepas drama ini sebenarnya sama sahaja. Saya sedar saya masih orang baharu dan perlu melalui fasa-fasa tertentu. Saya tidak nafikan memang ada tawaran berlakon.

“Cuma apabila melihat watak-watak yang ditawarkan, saya merasakan ada orang lain yang lebih layak membawakannya. Jadi, itu mungkin rezeki orang lain. Ada watak seperti ustaz juga, watak seseorang yang berselindung di sebalik kebaikan.

“Ada yang hampir sama dengan watak dalam Dosa Yang Terlindung. Ada juga watak lain, tetapi mirip karakter yang pernah saya mainkan dalam projek-projek terdahulu.

“Saya takut sekiranya menerima watak hampir sama, perkara itu tidak adil kepada produksi baharu kerana persembahan saya mungkin kelihatan seperti mengitar semula apa yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Firdaus menganggap dirinya masih belum layak dianggap setaraf dengan pelakon senior seperti Azhan Rani dan Faizal Hussein yang sering menjayakan naskhah yang mengetengahkan isu ‘penunggang agama’.

“Saya masih junior berbanding Abang Azhan dan Abang Faizal. Saya rasa belum layak untuk duduk sebaris dengan mereka. Namun, kalau suatu hari nanti saya diberikan lagi watak sebegini, saya akan cuba mencari ruang untuk membawakannya dengan cara berbeza.

“Malah dalam Dosa Yang Terlindung 2, saya masih membawakan watak sama. Jadi, kami cuba mencari pendekatan berbeza supaya penonton mendapat sesuatu yang baharu daripada watak tersebut,” jelasnya.

Firdaus bagaimanapun mengakui terbuka sekiranya berpeluang untuk bekerjasama dengan dua nama besar tersebut demi meraih pengalaman baharu dalam dunia seni.

“Sudah tentu saya mahu. Banyak perkara yang saya masih perlu belajar daripada pelakon senior. Kalau ada peluang untuk belajar, saya akan rebut. Cuma kepada penonton di luar sana, persoalannya, tahan atau tidak?

“Apabila menonton satu watak sahaja pun penonton sudah kata mereka geram, sakit hati dan sakit jantung. Cuba bayangkan kalau tiga watak itu disatukan dalam satu drama. Sanggup atau tidak mereka mengharunginya?

“Kalau itu memang keinginan penonton, semuanya bergantung kepada budi bicara stesen. Kalau mereka merasakan ia sesuatu yang boleh dilakukan dan penonton sanggup menontonnya, kita boleh usahakan,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Firdaus sekali lagi bakal menjentik hati penonton menerusi drama Doa Yang Terlindung musim kedua yang turut dibintangi Fasha Sandha, Sharifah Rose, Nafiz Muaz, Christina Suzzane dan ramai lagi.



Source link

OR

Scroll to Top