Ziarah raya kawan dulu, keluarga kemudian? Awas, jangan sampai silaturahim terabai

Ziarah raya kawan dulu, keluarga kemudian? Awas, jangan sampai silaturahim terabai


BULAN Syawal sering dikaitkan dengan peluang bagi menyambung silaturahim, merapatkan hubungan yang lama terpisah dan menebus waktu yang selama ini tidak dimanfaatkan untuk keluarga.

Namun begitu, situasi itu kadangkala tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila segelintir orang lebih cenderung untuk ke rumah rakan-rakan terlebih dahulu, sedangkan sanak saudara diletakkan dalam senarai terakhir.

Pendakwah Ustazah Asma’ Harun menegur sikap itu dan menyifatkannya sebagai satu fenomena yang perlu dibetulkan sebelum menjadi kelaziman yang melalaikan tuntutan agama.

USTAZAH ASMA’

“Ramai masyarakat terutama generasi anak-anak kita yang lebih mengutamakan ziarah dalam kalangan kawan-kawan, jiran dan rakan sekerja daripada hubungan keluarga,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video tazkirahnya di Masjid Ar-Rahmah, Bukit Katil, Melaka yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Hakikatnya, penceramah terkemuka itu mengingatkan bahawa dalam Islam, keutamaan ziarah pada bulan Syawal adalah kepada ahli keluarga yang mempunyai hubungan darah atau rahim, bukan semata-mata atas dasar kawan rapat.

“Kalau hubungan keluarga itu sekadar adik-beradik, emak saudara atau datuk saudara, (ada yang) tak pergi tengok (ziarah). Lebih-lebih lagi jika rumah mereka itu kecil, (hidup) susah, makanan pun (sudah) tahu setiap tahun (jamu) mi goreng dan (beri) duit raya kecil, (itu) masuk ‘senarai terakhir’.

“Bagaimanapun, jika ada jemputan dari rumah besar, makanan sedap, duit raya banyak berbeza pula, seronok raya di rumah orang kaya,” katanya yang menggambarkan realiti berlaku saban tahun.

Dalam hal itu, Ustazah Asma’ mengingatkan, umat Islam perlu membezakan antara silaturahim dan ukhuwah.

Mengertilah, silaturahim ialah hubungan darah iaitu ‘ikatan rahim’ yang mempunyai tuntutan agama begitu besar, manakala ukhuwah pula melibatkan hubungan persaudaraan sesama Islam secara umum.

“Kena faham maksud silaturahim. Silah bermaksud ikatan dan rahim pula ialah rahim. Maksud silaturahim ialah ikatan yang ada kaitan dengan rahim iaitu daripada moyang, selepas itu ada anak, cucu dan cicit. Jadi, ada banyak kaitan rahim itu yang dinamakan silaturahim.

KELEBIHAN menyambung silaturahim ini sangat besar sehinggakan terdapat ganjaran cinta ALLAH kepada mereka yang melakukannya dengan ikhlas kerana-NYA. -Foto: CANVA

KELEBIHAN menyambung silaturahim ini sangat besar sehinggakan terdapat ganjaran cinta ALLAH kepada mereka yang melakukannya dengan ikhlas kerana-NYA. -Foto: CANVA

“Sementara itu, kawan, rakan sekerja dan jiran-jiran pula ialah ukhuwah iaitu hubungan kasih sayang yang bukannya berkongsi rahim,” terangnya.

Ketahuilah bahawa kelebihan menyambung silaturahim ini sangat besar sehinggakan terdapat ganjaran cinta ALLAH kepada mereka yang melakukannya dengan ikhlas kerana-NYA, ungkapnya.

Beliau kemudian menceritakan kisah seorang pemuda yang mengunjungi saudaranya di kampung lain dan kemudian ALLAH SWT mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut.

Ketika dalam perjalanannya ke kampung yang dituju, maka malaikat itu bertanya: “Hendak pergi ke mana kamu?”

Orang itu menjawab: “Saya ingin menjenguk saudara saya yang berada di kampung lain.”

Malaikat itu terus bertanya kepadanya: “Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya?”

Lelaki itu menjadi: “Tidak, saya hanya mencintainya kerana ALLAH AZZA wa JALLA.”

Akhirnya malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya ALLAH akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana ALLAH.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis itu, Ustazah Asma’ menitipkan pesan agar kita membetulkan niat setiap kali kita ingin menziarahi ahli keluarga, apatah lagi pada bulan yang penuh barakah ini.

“Jadi, kena betulkan niat kita bulan Syawal ini, kita pergi ziarah atau menerima tetamu kerana ALLAH SWT.

“Bagaimana hendak buat kerana ALLAH? Memang kena belajar sebut ‘Ya ALLAH, aku terima tetamu ini kerana-MU, ya ALLAH’.

“Walaupun adakalanya kita geram dengan tetamu hingga rasa nak suruh dia balik, tetapi tidak juga pulang dan kita pula sudah tiada idea hendak melayannya, (maka fahamilah) itu adalah ujian,” katanya.

BETULKAN niat setiap kali kita ingin menziarahi ahli keluarga atau menerima tetamu iaitu semuanya kerana ALLAH SWT.

BETULKAN niat setiap kali kita ingin menziarahi ahli keluarga atau menerima tetamu iaitu semuanya kerana ALLAH SWT.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ menegaskan, ziarah kepada keluarga bukan hanya soal ‘jemputan’ memandangkan ramai yang sanggup hadir ke majlis kawan sejauh mana pun, tetapi berat hati untuk ke rumah nenek saudara sendiri yang mungkin hanya berjarak beberapa kilometer.

Beliau kemudian mengingatkan ancaman berat terhadap mereka yang memutuskan silaturahim.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda bahawa ALLAH SWT akan memutuskan hubungan dengan hamba-NYA yang memutuskan silaturahim.

“Ujian bila ziarah ahli keluarga ini kerana pahala dan tuntutannya jauh lebih besar daripada ziarah selain ahli keluarga.

“Ancamannya, kalau kita tak hubungkan atau terputus silaturahim, sehingga dalam hadis Nabi Muhammad SAW ada dinyatakan bahawa ‘ALLAH berputus dengan mereka yang berputus’,” tegas penceramah itu.



Source link

OR