Zidane kecewa tak pernah beraksi bersama Scholes

Zidane kecewa tak pernah beraksi bersama Scholes


Zidane (kanan) dan Scholes hanya bermain sebagai lawan dalam karier profesional mereka.

ZINEDINE Zidane kesal kerana tidak pernah beraksi bersama seorang legenda Manchester United dalam karier gemilangnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Dikenali sebagai Zizou, Zidane yang memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or pada 1998 pernah beraksi dengan beberapa pemain terbaik dunia untuk kelab dan negaranya.

Namun, Zidane kecewa kerana tidak berpeluang berada dalam pasukan yang sama dengan Paul Scholes yang diangapnya sebagai hampir sempurna.

Zidane sering memuji bekas kapten Liverpool dan England, Steven Gerrard yang menurutnya pernah menjadi pemain terbaik dunia.

Dia juga pernah memuji bekas tonggak Chelsea, Frank Lampard dan menyifatkannya sebagai seorang pemimpin menjelang Piala Dunia 2014 di Brazil.

Namun, Zidane paling kerap bercakap dengan penuh kekaguman mengenai Scholes.

Pada 2010, timbul khabar angin bahawa pengurus England ketika itu, Fabio Capello cuba memujuk Scholes keluar daripada persaraan untuk bermain dalam Piala Dunia di Afrika Selatan.

Scholes akhirnya memilih untuk tidak kembali bermain tetapi sebelum kejohanan itu, Zidane pernah memuji bakat luar biasa Scholes, menyifatkannya sebagai hampir tidak boleh disentuh dan menyesali hakikat bahawa mereka tidak pernah bermain bersama.

“Adalah perkara biasa untuk memilih pemain terbaik anda dan bagi saya, tidak diragui lagi bahawa Paul Scholes masih berada dalam kelasnya yang tersendiri.

“Dia hampir tidak boleh disentuh dalam apa yang dilakukannya. Saya tidak pernah jemu menontonnya bermain.

“Jarang sekali anda menemui pemain bola sepak yang lengkap tetapi Scholes hampir mencapai tahap itu.

“Dia adalah jenis pemain yang anda mahukan kerana dia membuat permainan kelihatan mudah disebabkan kebolehan semula jadinya yang luar biasa,” ujar Zidane.

Scholes menghabiskan seluruh kariernya bersama Manchester United, membuat 718 penampilan dan menjaringkan 155 gol sebelum bersara pada 2013.

Selain Zidane, beberapa bekas pemain di Barcelona meminati Scholes antaranya Xavi Hernandez, Pep Guardiola dan Andres Iniesta.



Source link

OR

Scroll to Top