BANGKOK – Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meraih gelaran pertamanya musim ini apabila merangkul gelaran kedua Terbuka Thailand 2024 selepas menewaskan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long di pentas final di sini hari ini.
Zii Jia, juara edisi 2022, hanya mengambil masa 34 minit untuk merangkul kejuaraan dengan kemenangan straight set 21-11, 21-10.
Kemenangan pemain ranking ke-10 dunia itu diyakini mampu menjadi tonik terbaik dalam persiapan menghadapi Malaysia Masters 2024 bermula Selasa ini.
Kejayaan itu membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai US$ 31,500 (RM147,640) manakala manakala Ka Long meraih US$15,960 (RM74,804) selaku naib juara.
“Ia adalah antara persembahan terbaik saya tahun ini. Saya berharap mengekalkan mementum ini ke kejohanan Malaysia Masters,” kata pemain berusia 26 tahun itu kepada Bernama selepas aksi final itu.
Ditanya mengenai jangkaannya untuk Malaysia Masters, anak jati Kedah itu berkata dia hanya mahu menikmati permainan itu ketika membuat persiapan untuk Sukan Olimpik Paris pada Julai ini.
Zii Jia kali terakhir memenangi kejuaraan Oktober lalu pada Terbuka Artik di Finland.
Terdahulu, beregu pilihan utama dan juara Terbuka Perancis, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India merangkul gelaran kedua tahun ini apabila mengambil masa 45 minit untuk menewaskan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China 21-15, 21-15.
Sementara itu, pemain kegemaran tuan rumah, Supanida Katethong melakar kejutan apabila merangkul kejuaraan jelajah dunia pertamanya tahun ini dengan menyingkirkan pemain ranking ketujuh dunia dari China, Han Yue 21-16, 25-23 dalam tempoh 56 minit pada final perseorangan wanita. – BERNAMA