KUALA LUMPUR – 16 rakyat Malaysia antara 211 penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 dari Heathrow, London ke Singapura yang mengalami pergolakan melampau secara tiba-tiba di Lembangan Irrawaddy.
SIA berkata, ketika itu pesawat berkenaan berada pada ketinggian 37,000 kaki kira-kira 10 jam selepas berlepas.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan mengalihkan pesawat ke Bangkok, dan mendarat pada jam 3.45 jam waktu tempatan pada 21 Mei 2024.
“Kami mengesahkana terdapat beberapa kecederaan dan satu kematian di dalam pesawat Boeing 777-300ER itu,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Sehingga 7.50 malam waktu Singapura pada 21 Mei 2024, 18 individu telah dimasukkan ke hospital. 12 lagi sedang dirawat di hospital.
Baki penumpang dan anak kapal sedang diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.
Semasa kejadian terdapat 18 anak kapal.
“Singapore Airlines mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang. Kami amat memohon maaf atas pengalaman traumatik yang dialami oleh penumpang dan anak kapal kami dalam penerbangan ini.
“Kami menyediakan semua bantuan yang diperlukan semasa masa sukar ini,” kata SIA.
Tambahnya, SIA sedang bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk memberikan bantuan yang diperlukan.
Pasukan Singapore Airlines juga sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk memberikan sebarang bantuan tambahan yang diperlukan.
Pada masa sama, SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan insiden ini.
Keluarga yang mahu mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian hotline Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom). – MalaysiaGazette