2,351 saman dikeluarkan, tidak pakai topi keledar paling tinggi

2,351 saman dikeluarkan, tidak pakai topi keledar paling tinggi


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Menunggang jarak dekat dan sekadar ronda kampung antara alasan paling kerap diberikan penunggang motosikal yang ditahan kerana tidak memakai topi keledar.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memandang serius perkara itu, dengan operasi kerap dilaksana bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.

Pengarah JPJ negeri Zamri Samion berkata, dalam operasi yang bermula 1 Januari lalu hingga Khamis, sejumlah 2,351 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 7,438 kenderaan termasuk motosikal.

Pihaknya turut mengeluarkan 101 notis larangan penggunaan kenderaan, 117 notis arah periksa, 312 notis panggilan temu duga siasatan serta 73 notis sita.

“Sebanyak 1,063 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan tertinggi ialah tidak memakai topi keledar melibatkan 248 kes.

“Kesalahan lain termasuk mengubah suai kenderaan, tidak mempamerkan nombor pendaftaran, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta pelbagai kesalahan teknikal,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Khas Motosikal di Pantai Seberang Takir, semalam.

Zamri berkata, pemakaian topi keledar tidak boleh diambil ringan walaupun bergerak jarak dekat kerana mengundang risiko kecederaan parah dan kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam pada itu, katanya, beberapa lokasi panas yang sering dijadikan laluan aktiviti lumba haram dikenal pasti, antaranya Bandar Baru Kuala Nerus, Jalan Mengabang Telipot, Jalan Padang Nenas, Jalan Durian Burung-Manir, Jalan Wakaf Beruas-Bukit Payong, Jalan Chendering, Kampung Teluk Ketapang, Kampung Losong dan Jalan Taman Tamadun Islam.

“Tahun lalu, sebanyak 25,358 saman dikeluarkan berbanding 23,457 saman pada 2024. Bagi Operasi Khas Motosikal (Mat Rempit) pula, 2,409 notis dikeluarkan dan 268 motosikal disita,” katanya yang memaklumkan akan mempergiatkan operasi khas motosikal tahun ini.

Dalam operasi semalam 11 motosikal disita kerana cukai jalan dan insurans tamat tempoh, manakala motosikal Yamaha RXZ ditunggang wanita berusia 36 tahun disita kerana nombor casis mencurigakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top