PETALING JAYA: Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan mencatatkan kehadiran tertinggi iaitu seramai 284,448 pengunjung sejak program itu diperkenalkan pada 2023.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pencapaian tersebut membuktikan rakyat Malaysia semakin menghargai kepelbagaian budaya, warisan dan identiti yang menjadi asas kekuatan negara.
Beliau berkata, tiga tarikan utama yang mendapat sambutan luar biasa ialah Perkampungan Etnik, Rumah Etnik serta Pameran Negara Bangsa dan Raja Kita.
“Perkampungan Etnik mengetengahkan kehidupan harian masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan Baba Nyonya. Ia memberi peluang kepada pengunjung memahami budaya serta tradisi pelbagai kaum dengan lebih dekat.
“Rumah Etnik pula memperkenalkan keunikan masyarakat seperti Bajau, Melanau, Banjar, Kedayan dan Portugis melalui makanan tradisional, adat perkahwinan, pakaian, permainan serta alat muzik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata, Pameran Negara Bangsa dan Raja Kita turut menarik minat ramai golongan muda menerusi pengisian mengenai sejarah kenegaraan, institusi Raja-Raja Melayu serta pembinaan negara bangsa Malaysia.
Beliau berkata, berikutan sambutan memberangsangkan, kementerian akan meneruskan penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun hadapan.
Katanya, program berkenaan akan terus menjadi platform nasional yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, saling mengenali dan menghargai antara satu sama lain.
“Perpaduan tidak boleh dibina melalui satu program semata-mata. Ia memerlukan usaha yang berterusan, konsisten dan menyeluruh.
“Perpaduan bukan bersifat ‘one-off’, sebaliknya merupakan komitmen jangka panjang yang perlu dipupuk, diperkukuh dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi lain,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus mewujudkan lebih banyak ruang interaksi bagi merapatkan jurang, memperkukuh persefahaman dan membina rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, usaha memperkukuh perpaduan memerlukan komitmen kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh rakyat.
“Hanya melalui komitmen bersama, kita mampu membina sebuah Malaysia yang lebih bersatu, harmoni dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN





