PUTRAJAYA: Sejumlah 813 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara telah siap sepenuhnya manakala 173 projek lagi dalam pembinaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 264 projek lagi berada pada peringkat prabina setakat bulan lalu.
Katanya, keseluruhan 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif itu telah diluluskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 bilion.
“Tempoh pembinaan bagi projek ini adalah di antara enam hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak.
“Bilangan sekolah daif seperti yang dilaporkan media baru-baru ini adalah bersifat dinamik dan ia berubah dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM melalui jabatan pendidikan negeri (JPN) sentiasa memantau rapi keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah daif.
KPM sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan berkualiti dan ekosistem yang kondusif di semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan seluruh masyarakat. – UTUSAN






