am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN), hari ini, mengesahkan menolak cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli parlimen PN.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan menolak dua cadangan MoU yang diterima itu, iaitu antara kerajaan Malaysia dan parti PN dan antara kerajaan Malaysia dengan semua ahli parlimen PN, dibuat sebulat suara atas empat sebab asas.
Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
“Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Draf MoU ini mengandungi syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama dan tempatan,” katanya pada kenyataan.
Hamzah mendakwa, draf MoU itu juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan itu boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.
Selain itu, beliau mendakwa, draf itu turut mengandungi perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli parlimen, sedangkan setiap ahli parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Justeru, PN mahu mengingatkan kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH), yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji berkenaan,” katanya.
Awal bulan ini, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan, terdapat tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.
Antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal parlimen ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R), yang didakwa beliau ada antaranya pelik dan tiada kena mengena dengan peruntukan yang dituntut.
Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbang penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan draf kepada PN, bulan lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Julai lalu dilaporkan berkata, isu agihan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH merangkumi enam perkara, termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen.
Tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
MoU itu disempurnakan Perdana Menteri bersama-sama pimpinan kanan PH, diterajui Anwar, yang ketika itu ialah Presiden PKR dan Ketua Pembangkang.
© New Straits Times Press (M) Bhd