Suami kepada penyanyi rock Ella iaitu Azhar Ghazali mendedahkan isterinya aktif melakukan kerja-kerja amal tanpa diketahui umum serta memilih untuk tidak menghebahkannya.
Memetik mStar Online, Azhar berkata isterinya memang aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan sejak dahulu lagi.
BACA: Ella Pernah Dikecam Gara-Gara Hanya Pakai Anak Tudung
“Ella pernah sertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mereka yang tinggal di khemah-khemah pelarian perang Syria.
“Dia juga selalu bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk menyumbang idea dan membimbing pelajar sekolah seni, serta menyumbang alatan muzik, membantu gelandangan dan menghlurkan makanan. Cuma benda-benda ini kita tak umumkan,” katanya.
Sementara itu, Azhar berkata Ella turut menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan artis serta mereka yang kesempitan namun memilih untuk merahsiakan demi menjaga privasi penerima.
“Ada juga bantuan kepada rakan-rakan artis secara peribadi, mereka yang kesempitan, termasuk senior-senior sewaktu dia mula bermain muzik dulu.
“Orang yang menerima mungkin malu. Jadi kita kena jaga sensitiviti. Kita tak boleh kongsi semua perkara nanti privasi mereka pula terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Azhar mendedahkan Ella turut mempunyai senarai penerima bantuan bulanan namun para penerima tidak mengetahui individu disebalik sumbangan berkenaan.
“Dia ada senarai orang-orang yang dia hulurkan bantuan setiap bulan. Puluhan orang, tak kira artis atau orang biasa tapi perkara itu tak perlulah diumumkan.
“Dalam senarai itu termasuk orang susah, ibu bapa yang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar. Semua ini tak tahu sumbangan itu daripada Ella. Dia bagi secara konsisten,” kongsinya.
Sumber: mStar Online





