New York: Perancis bakal berdepan ujian sebenar pertama dalam kempen Piala Dunia apabila menentang Maghribi pada aksi suku akhir, awal pagi Jumaat ini.
Pertembungan itu mengimbas kembali pertemuan separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar apabila Perancis menamatkan perjalanan bersejarah Maghribi.
Namun kali ini, wakil Afrika itu hadir bukan lagi sebagai pasukan kejutan, sebaliknya sebagai pencabar yang yakin mampu menjulang trofi.
Perancis mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Paraguay 1-0 dalam perlawanan yang menguji kesabaran dan karakter mereka berbanding aksi menyerang biasa.
Kapten Perancis, Kylian Mbappe menjaringkan gol ketujuhnya pada kejohanan kali ini, namun persembahan itu turut menunjukkan bahawa pasukan kendalian Didier Deschamps perlu mencari jawapan lebih sukar apabila berdepan lawan berkualiti di peringkat kalah mati.
Berbeza dengan lawan sebelum ini, Maghribi memiliki kemampuan bertahan, mengawal permainan serta menghukum kesilapan lawan menerusi serangan pantas.
Kemenangan 3-0 ke atas Kanada pada pusingan 16 terbaik mengukuhkan reputasi Maghribi sebagai pasukan yang semakin berkembang sepanjang kejohanan selepas menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah.
Maghribi turut membuktikan kemampuan mereka dalam kumpulan mencabar apabila mengutip tujuh mata menentang Brazil, Scotland dan Haiti, sekali gus menunjukkan mereka hadir bukan sekadar mengulangi kisah inspirasi 2022.
Perancis pula masih belum berdepan pasukan yang memiliki gabungan kualiti teknikal, kekuatan fizikal dan keyakinan seperti Maghribi.
Sweden mudah ditewaskan pada pusingan 32 terbaik manakala Paraguay lebih banyak bertahan tanpa memberikan ancaman besar.
Pertembungan suku akhir itu dijangka menjadi ukuran paling jelas sama ada barisan serangan Perancis mampu terus mendominasi kejohanan berdepan pasukan yang mampu mencabar mereka menerusi serangan balas.
Perancis berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah, Aurelien Tchouameni yang mengalami kecederaan otot, manakala Maghribi dijangka kehilangan penyerang utama, Ismael Saibari.
Mbappe, Ousmane Dembele, Michael Olise dan Bradley Barcola membentuk antara jentera serangan paling berbahaya di Piala Dunia kali ini, namun disiplin taktikal serta keyakinan Maghribi bakal menjadi ujian paling lengkap buat skuad Les Bleus.
© New Straits Times Press (M) Bhd






