‘Kahang akan kekal jadi kubu kuat BN kerana rakyat nilai prestasi, bukan janji’

‘Kahang akan kekal jadi kubu kuat BN kerana rakyat nilai prestasi, bukan janji’

‘Kahang akan kekal jadi kubu kuat BN kerana rakyat nilai prestasi, bukan janji’


MUKADIMAH

Meskipun berdepan saingan tiga penjuru, calon Barisan Nasional (BN), V. Rugendran berusia 29 tahun itu optimis mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan terus menjadi kubu kuat BN berikutan keyakinan rakyat terhadap rekod perkhidmatan gabungan berkenaan selama ini.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, HANAFI ZULKEFLI dan dibantu jurufoto SHIDDIEQIN ZON, beliau berkongsi mengenai hasrat jika diberikan mandat, beliau mahu mewujudkan produk ‘Kahang Kita’ agar pembangunan serta pendekatan yang mahu dibawa olehnya dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.

 

UTUSAN: Bagaimana bermulanya penglibatan dalam politik sehingga diberikan kepercayaan mewakili BN di DUN Kahang?

RUGENDRAN: Saya melihat politik sebagai satu wadah untuk berkhidmat, bukannya platform mengejar kedudukan. Sebelum diberikan amanah sebagai calon, saya sudah lama aktif bersama masyarakat menerusi pelbagai program kemasyarakatan, khususnya melalui MIC dan Persatuan Kebudayaan “Little India” di Johor Bahru. Pengalaman turun padang selama bertahun-tahun memberi peluang kepada saya memahami sendiri keperluan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Selain memegang jawatan Ketua Pemuda MIC Sembrong dan Timbalan Ketua Pemuda MIC Johor, saya juga aktif membantu menyelaras program kebajikan, pendidikan dan kebudayaan. Apabila parti memberikan kepercayaan kepada saya bertanding di Kahang, saya menganggapnya sebagai satu amanah besar untuk meneruskan legasi perkhidmatan BN, bukan sekadar membawa imej calon muda.

 

Ramai melihat Kahang sebagai kubu kuat BN. Apakah yang memberikan keyakinan kepada anda bahawa status itu mampu dipertahankan?

Keyakinan saya bukan dibuat berdasarkan sentimen politik semata-mata tetapi hasil pemerhatian sepanjang tempoh berkempen. Saya telah mengunjungi hampir setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), Felda dan perkampungan Orang Asli di Kahang. Sambutan yang diterima sangat positif dan saya dapat melihat hubungan erat yang telah dibina BN bersama rakyat sejak sekian lama masih kukuh.

Rakyat hari ini lebih matang dalam membuat penilaian. Mereka tidak hanya mendengar janji ketika musim pilihan raya, sebaliknya melihat rekod perkhidmatan yang telah diberikan. Sebab itu saya percaya Kahang akan terus menjadi kubu kuat BN kerana rakyat menilai prestasi, kesinambungan pembangunan serta keupayaan menyelesaikan masalah secara konsisten.

 

Sepanjang berkempen, apakah isu yang sering dibangkitkan oleh penduduk Kahang?

Perkara utama yang paling banyak dibangkitkan ialah pendidikan. Saya bertemu ramai ibu bapa dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu menyambung pelajaran tetapi berdepan kekangan kewangan. Mereka memerlukan seseorang yang boleh membantu mendapatkan bantuan pendidikan, biasiswa dan saluran yang betul supaya peluang melanjutkan pengajian tidak terhenti.

Isu kedua ialah peluang pekerjaan dan ekonomi belia, manakala ketiga ialah kebajikan golongan warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU). Walaupun pelbagai bantuan kerajaan telah disediakan, saya melihat masih ada ruang untuk memperluaskan manfaat supaya lebih ramai golongan memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.

 

Boleh huraikan visi anda berhubung inisiatif ‘Kahang Kita’ dalam memperkasakan produk tempatan serta pekebun kecil di Kahang?

Saya mahu mewujudkan satu jenama tempatan iaitu ‘Kahang Kita’ yang menghimpunkan produk pekebun kecil, petani dan pengusaha industri makanan di kawasan ini di bawah satu identiti bersama.

Melalui pendekatan ini, produk Kahang boleh dipasarkan dengan lebih tersusun dan mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan penduduk, tetapi juga memperkenalkan Kahang sebagai destinasi agropelancongan yang unik.

 

Infrastruktur turut menjadi antara fokus saudara. Apakah penambahbaikan yang ingin diberikan keutamaan?

Kemudahan asas merupakan asas kepada pembangunan sesebuah kawasan. Masih terdapat beberapa laluan yang memerlukan penambahbaikan kerana keadaan jalan yang rosak boleh menjejaskan keselamatan pengguna selain menyukarkan urusan harian penduduk.

Selain itu, saya juga mahu memastikan kawasan yang masih kurang pencahayaan diberikan perhatian. Kemudahan asas yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi termasuk sektor agro-pelancongan yang mempunyai potensi besar di Kahang. – UTUSAN

 



Source link

OR

Scroll to Top