Argentina bangkit hasil sentuhan Fernandez

Argentina bangkit hasil sentuhan Fernandez

Argentina bangkit hasil sentuhan Fernandez


Atlanta: Pemain tengah, Enzo Fernandez muncul wira buat Argentina apabila meledak gol kemenangan untuk membantu pasukan itu mencetus kebangkitan dramatik 3-2 ke atas Mesir pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Atlanta.

Ketinggalan dua gol sehingga minit ke-79, juara bertahan itu bangkit dengan tiga gol lewat permainan bermula dengan jaringan Cristian Romero disusuli jaringan penyamaan kapten berpengaruh, Lionel Messi.

Ketika aksi seakan diheret ke masa tambahan, Fernandez menanduk masuk hantaran lintang Lautaro Martinez pada minit kedua masa kecederaan sekali gus melenyapkan impian Mesir.

“Berpeluang merasai detik seperti ini, sejujurnya saya berterima kasih kepada Tuhan. Saya sangat bertuah,” kata Fernandez selepas perlawanan.

“Saya mahu menonjolkan rakan sepasukan. Kami mempunyai kumpulan pemain yang luar biasa, pasukan yang tidak pernah berputus asa walau berdepan kesukaran dan cabaran. Kami sentiasa bersama,” kata pemain tengah Chelsea itu.

Gol Fernandez melengkapkan aksi epik yang turut menyaksikan Messi gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa pertama, kegagalan kedua kapten Argentina itu daripada sepakan penalti dalam kejohanan ini, manakala gol kedua Mesir pada babak kedua dibatalkan selepas keputusan kontroversi menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Terdahulu, Argentina hampir berdepan kejutan terbesar kejohanan apabila Mesir berada di landasan mencipta kemenangan bersejarah menerusi jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Zico.

Bagi Zico, pemain itu mengakui babak kedua berlangsung dalam keadaan yang agak pelik namun berbangga dengan persembahan diperagakan wakil Afrika itu.

“Kami menghasilkan persembahan hebat menentang juara dunia. Saya tidak tahu apa berlaku pada separuh masa kedua. Perkara pelik berlaku yang semua orang dapat lihat. Ia jelas seperti matahari di siang hari,” kata Zico.

Kemenangan itu sekali lagi menyaksikan Argentina sekali lagi terpaksa bekerja keras selepas mereka turut dipaksa berhempas pulas oleh Cape Verde dalam aksi pusingan 32 terakhir yang berlanjutan ke masa tambahan, Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top