Lalu jalan ditutup, MPV jatuh gaung, guru, pekerja kantin maut

Lalu jalan ditutup, MPV jatuh gaung, guru, pekerja kantin maut


am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dipandu seorang guru bersama pekerja kantin terhumban ke dalam gaung sedalam 200 kaki mengakibatkan kedua-duanya maut di Kilometer (km) 52 Jalan Kuala Jeneris – Sg Gawi – Aring (Bukit Kawah), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, maklumat diterima mengenai kejadian kemalangan jalan raya di kawasan yang ditutup laluannya pada jam 5.30 petang.

Menurutnya, kemalangan membabitkan MPV yang difahamkan terbabas ke dalam gaung dan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu MPV ialah Hassan Shazali, 52, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumahnya di Gua Musang, Kelantan.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke arah Gua Musang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa melalui jalan yang ditutup akibat tanah runtuh dan kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki.

“Sementara itu penumpang MPV, Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin sekolah, tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan kawasan tanah runtuh dan kejadian berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top