norhayati_nordin@hmetro.com.my
Dalam kalangan peminat XPDC sama ada generasi lama dan baharu, pastinya mengenali susuk Arif Izo, 28, yang juga seorang pemain gitar dan anggota termuda kumpulan metal ‘otai’ terkenal itu.
Apatah lagi, bapanya juga pemain gitar utama merangkap ketua kumpulan iaitu Izo XPDC yang sememangnya anggota asal sejak penubuhan XPDC pada 1988.
Arif atau nama sebenar Muhamad Arif Mohd Zulkifly berkata, muzik sudah sebati dalam dirinya dan mempunyai minat mendalam terhadap karier ini.
“Lahir dan dibesarkan dalam keluarga pemuzik, saya sudah melihat ayah aktif bermain muzik sejak kecil. Jadi, sekarang bakat ayah itu jatuh kepada saya dan juga sangat meminatinya.
“Bahkan, saya tiada masalah bekerjasama dengan ayah dalam bermain muzik (seperti show dan konsert) kerana saya pun menyertai XPDC di antara 2012 dan 2013 ketika berusia 15 tahun,” katanya.
Menurut Arif lagi, dia mulanya hanya menjadi tukang pasang peralatan muzik untuk XPDC sahaja kerana sering mengikut bapanya, namun Ali XPDC yang mengajaknya sertai kumpulan itu.
Katanya, persembahan pertama sebagai pemain gitar XPDC adalah pada Konsert Loudspeaker di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Disember 2011.
Ditanya juga perihal sekiranya didakwa menumpang nama bapanya, Arif berkata, dia tidak pernah memikirkan perkara itu kerana bermain muzik adalah minat dan bersyukur dengan bakat diri.
“Tumpang nama ayah, bagi saya itu tidak berlaku kerana saya memang anak kandung Izo XPDC. Malah, ayah saya ada bakat bermain gitar yang tersendiri dan sangat berpengalaman.
“Saya pula dengan bakat saya dan masih muda. Selain bermain muzik, saya turut terbabit melakukan kerja belakang tabir termasuk di studio.
“Ayah juga tidak menghalang dan bagi saya sokongan penuh. Saya bersyukur peluang bermain gitar dengan XPDC adalah platform terbaik saya menimba lebih banyak pengalaman,” katanya.
Ujar anak kedua daripada empat beradik ini, pembabitan bersama XPDC bagaimanapun diterima baik peminat kumpulan itu dan baginya ia sama sekali tidak bersandarkan paras rupa dimilikinya.
Terdahalu, Arif dikatakan menjadi perhatian ramai terutama pada kalangan peminat wanita kerana memiliki wajah tampan dan status diri yang masih bujang.
“Ya, saya masih belum berkahwin dan tiada kekasih. Ini kerana, saya mahu fokus dulu dalam karier seni dengan bermain muzik. Saya ada impian yang ingin dikejar sebelum tiba masa untuk berumah tangga.
“Saya ingin berjaya dalam karier dan pada masa sama perlu menstabilkan kewangan dulu. Bagaimanapun, tak dinafikan saya sering mendapat mesej daripada wanita di media sosial tapi tidak dilayan.
“Ramai di antaranya (wanita) yang menghantar mesej mahu berkenalan, tapi saya ambil pendekatan berhati-hati. Sebab di media sosial ini bermacam orang ada.
“Saya pun tidak kenal mereka yang menghantar mesej itu dan bimbang juga sekiranya dia adalah ‘scammer’ kerana sekarang ramai orang menjadi mangsa penipuan siber.
“Jadi, saya biasanya hanya baca sahaja mesej dan biarkan. Kalau balas pun, saya pastikan tidak keterlaluan kerana banyak juga orang yang menggunakan akaun palsu,” jelasnya.
Baru-baru ini, Arif juga ada membuat hantaran video berkongsi pandangannya terhadap bagaimana anak seni perlu meningkatkan nilai bakat untuk kekal relevan dalam industri.
Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan menerima bayaran tidak setimpal dengan hasil kerja walaupun setiap rezeki itu sudah ditetapkan oleh Allah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






