Pelumba negara sebelum menjalani sesi latihan di Langkawi.
PELUMBA berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Elmi Jumari mahu membuktikan anak tempatan turut mampu bersaing dengan pelumba bertaraf dunia di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Menurutnya, kemampuan pelumba terutama dari Asia juga perlu diberikan perhatian apatah lagi setiap peringkat perlumbaan menjanjikan saingan yang cukup terbuka.
Namun, beliau menegaskan taktikal yang diatur ketika perlumbaan juga amat penting dalam usaha memastikan misi mencipta kejutan dapat direalisasikan.
“Saya rasa setiap kali saya ikut tour (siri jelaja) kita dapat lihat sebenarnya mereka tiada kelebihan (ketara). Secara jujur, kita pun sebagai pelumba asia pun layak berlawan dengan dorang.
“Namun, bagi saingan kali ini kita kena lihat kedudukan ketika mengharungi last sprint (pecutan terakhir nanti).
“Selain itu, bantuan daripada rakan sepasukan yang boleh membantu kita (menamatkan saingan dengan lebih baik) sebelum ke garasan pemain,” katanya ketika ditemui di Langkawi semalam.
Pelumba berusia 34 tahun itu juga mengakui tugas berat dipikulnya selepas diberi mandat sebagai kapten skuad kebangsaan kali ini.
“Saya bukan hanya ada misi peribadi kerana pasukan juga ada misi tersendiri. Kalau ada rezeki, kita akan cuba mendapatkan kemenangan dalam lapan peringkat yang diharungi nanti,” katanya.