'Chacha Maembong miliki karekter, ciri-ciri wanita idaman' – Andy Teh

'Chacha Maembong miliki karekter, ciri-ciri wanita idaman' – Andy Teh


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Andy Teh, 41, menyangkal dakwaan kononnya dia kini sedang dilamun cinta dengan pelakon terkenal, Chacha Maembong.

Menjelaskan situasi sebenar, Andy atau pemilik nama Andy Teh Kim Huat memberitahu hubungan mereka buat masa ini hanyalah sekadar rakan dan masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Bagaimanapun, Andy tidak menolak sekiranya ditakdirkan berjodohan dengan adik kepada pelakon, Emma Maembong.

“Untuk sekarang ini, saya dan dia (Chacha) masih berkawan. Kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing dan kalau betul dia jodoh, saya tak menolak.

“Saya rasa sekarang ini kami setuju untuk fokus kerjaya dulu. Jadi, belum tiba masa lagi untuk saya umumkan apa-apa,” katanya semasa sidang media pelancaran filem Black Ops, di sini, hari ini.

Andy mengakui pelakon wanita itu mempunyai daya tarikan tersendiri dan memiliki ciri-ciri wanita yang dicarinya selama ini.

“Chacha adalah seorang kawan yang baik. Dia mempunyai karakter dan ciri-ciri wanita yang saya idamkan,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Andy turut menyentuh soal perbezaan agama sekiranya dia ditakdirkan berjodoh dengan wanita beragama Islam.

“Itu adalah salah satu soalan yang saya sendiri pun tertanya pada diri saya. Mak dan ayah saya adalah penganut Buddha yang kuat.

“Tapi bagi saya, tak ada masalah kalau jodoh itu adalah orang Islam. Sebelum ini pun saya tak pernah bercinta dengan orang yang beragama Islam,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Andy bakal muncul dalam filem aksi terbaharu arahan Syafiq Yusof berjudul Black Ops yang bakal ditayangkan pada hujung tahun ini.

Selain Andy, pelakon lain yang turut membintangi filem terbabit adalah Sharnaaz Ahmad, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz dan Elizabeth Tan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top