Kumpulan band popular, Insomniacks kembali mencuri perhatian apabila mempertaruhkan single terbaharu berjudul Bersuara, hasil kolaborasi bersama penyanyi dan penulis lagu, Yonnyboii.
Karya ini menandakan fasa baharu buat kedua-dua artis, bukan sahaja dari segi bunyi yang lebih berat dan agresif, malah mesej yang dibawa juga lebih berani serta bersifat peribadi.
Kata Insomniacks, ‘Bersuara’ merupakan kisah tentang menyuarakan perasaan dan mempertahankan harga diri apatah lagi ia tercetus daripada pengalaman peribadi berkaitan perasaan tidak didengari serta tekanan emosi yang sering dipendam.
“Lagu ini tercetus daripada perasaan apabila pandangan dan suara seseorang seakan-akan diketepikan.
“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia tentang tahu nilai diri dan berani
bersuara,” jelas mereka.
Bagi Yonnyboii pula, naskhah ini merupakan luahan peribadi yang sangat dekat dengan dirinya.
“Lagu ni terhasil bila saya rasa saya tak didengari oleh sekelompok orang. Jadi saya buat lagu ni sebagai satu keyakinan untuk bersuara tentang apa-apa kesusahan yang saya lalui,” jelasnya.
Menariknya, Yonnyboii turut memperlihatkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif, berbeza daripada gaya rap yang sinonim dengan namanya.
“Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Jadi bila masuk ke genre rock ni, saya rasa lebih selesa. Untuk saya, ini ‘fresh start’ untuk kongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” katanya.
Proses kolaborasi bersama insomniacks juga disifatkan sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bebas tekanan.
“Kerja dengan mereka sangat fun. Tak stress langsung.
“Saya harap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” tambahnya.

Justeru, Insomniacks dan Yonnyboii berharap ‘Bersuara’ mampu menjadi ruang selamat buat pendengar untuk meluahkan emosi, selain membawa mesej tegas menentang isu buli.
“Kami harap pendengar lebih berani mengekspresikan perasaan dan melepaskan tekanan. Paling penting, hentikan buli,” tegas mereka.
Single ‘Bersuara’ boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 6 Februari 2026.






