Usahawan dan pemilik restoran, Dahlia Aliruddin, meluahkan rasa gembira apabila ramai selebriti veteran sering memilih tempat makan miliknya sebagai lokasi santai untuk berkumpul dan bersiar-santai.
Suasana di restoran I’Dahlia Corner Persiaran Stonor, Kuala Lumpur itu dikatakan selesa dan membuka peluang buat artis berinteraksi tanpa tekanan.
Menurut Dahlia, dia amat terharu melihat figura-figura terkenal seperti Rahmat Mega, Sheila Majid, Datin Intan Najwa, Zur Eda, Zaiton Sameon serta kumpulan muzik Max Five datang bersantai dan menjamu selera di tempatnya, yang turut menjadi port pertemuan baik buat mereka.


“Saya bahagia bila melihat mereka datang dan tenang berada di sini. Suasana yang santai membuatkan mereka boleh lepak tanpa rasa tertekan,” katanya mengenai pilihan artis-artis itu.
Dahlia turut berkongsi bahawa dia membuka ruang untuk artis-artis veteran yang ingin membuat persembahan kecil atau sekadar berkumpul sambil menikmati makanan bersama rakan-rakan.
“Saya cuba bantu sedaya mampu. Kadang-kadang ada yang datang buat persembahan, kadang hanya mahu lepak dan berbual bersama,” tambahnya.

Perniagaan restoran itu bermula secara kecil-kecilan lebih sepuluh tahun lalu dengan menyewa dua lot di food court dan menyediakan menu seperti sup tulang berasaskan resipi Johor, nasi lemak serta ayam goreng berempah yang mendapat sambutan.
Dahlia juga menceritakan pengalaman melalui tempoh sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila perniagaan terpaksa ditutup dan kos operasi masih perlu ditampung.

Selepas itu, dia mula memperkenalkan Buffet Ramadan dengan konsep makanan kampung yang diterima baik pelanggan kerana ia jarang ditawarkan di pusat bandar.
Sementara itu, sepanjang bulan Ramadan ini juga, Zur Eda bersama Bertiga Band dijadualkan menghiburkan pengunjung yang berbuka di restoran I’Dahlia yang menyediakan promosi menyediakan Dulang Warisan Ramadan, menambah lagi pengalaman santai buat tetamu yang hadir.






