Bintang baharu bersinar, Arena Wan, 26, semakin rancak mengasah kebolehan vokalnya apabila beberapa produksi mula melihat potensi nyanyiannya dan menawarkan peranan yang menuntut lebih daripada sekadar lakonan.
Pemilik nama penuh Arena Wan Mun Yi ini mengakui penerimaan hangat terhadap drama bersiri Generasi Perfect 10 membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni persembahan.
“Akhir-akhir ini, saya dapat beberapa tawaran drama muzikal yang memerlukan saya berlakon, menyanyi dan menari. Memang menggembirakan, tetapi selepas berbincang dengan pengurus, kami memilih satu tawaran yang paling sesuai dari segi tempoh penggambaran dan fleksibiliti,” katanya.

Pelakon naskhah Dara & The Gang ini turut memaklumkan beberapa produksi menawarkan pakej tambahan termasuk menyanyikan lagu latar drama.
Arena berkongsi minat terhadap nyanyian sudah lama wujud dan dia sering memuat naik rakaman nyanyian di media sosial.
“Saya memang suka menyanyi selain berlakon. Penerbit Generasi Perfect 10 juga pernah mencadangkan rakaman EP bertajuk Perfect, jadi itu satu penghargaan buat saya,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Riena Diana, Bela Dowanna & Arena Wan Bersatu Dalam ‘Gadis dan Angan-Angan’
Dalam perkembangan lain, Arena baru sahaja menamatkan penggambaran filem Chelot arahan Adrian Teh sebagai kemunculan cameo. Dia bersyukur mendapat peluang bekerjasama dengan pengarah itu dan berharap dapat lebih kerap berlakon filem pada masa hadapan.
Ramadan ini, Arena bakal menjalani penggambaran drama muzikal remaja berjudul Vokal Lit sebagai watak utama yang memerlukan kemahiran nyanyian dan tarian.






