FAM mengesahkan penganjuran tiga kejohanan utama melibatkan sukan futsal dan bola sepak pantai peringkat kebangsaan pada musim ini terpaksa dibatalkan.
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penganjuran tiga kejohanan utama melibatkan sukan futsal dan bola sepak pantai peringkat kebangsaan pada musim ini terpaksa dibatalkan.
Tiga kejohanan yang terjejas ialah Piala Futsal Malaysia, Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 (B-19) Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan.
FAM dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan tersebut terpaksa diambil selepas meneliti pelbagai faktor termasuk penyelarasan kalendar pertandingan, komitmen pasukan, serta isu berkaitan logistik dan infrastruktur.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak negara itu menafikan dakwaan bahawa pembatalan tersebut merupakan satu langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai di negara ini.
Tegas FAM, keputusan tersebut sebaliknya adalah satu pendekatan strategik demi kebaikan sukan itu pada masa akan datang.
“Ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
“FAM sedang menilai semula struktur pertandingan bagi futsal dan bola sepak pantai supaya ia selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta standard pertandingan yang lebih kompetitif,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pelan penstrukturan semula pertandingan bagi kedua-dua sukan berkenaan akan diperincikan sebaik sahaja perbincangan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan kelak.
Terdahulu, laporan media mengenai pembatalan tiga kejohanan berkenaan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat serta penggiat sukan futsal dan bola sepak pantai tanah air.
Ringkasan AI
- Persatuan Bolasepak Malaysia mengesahkan pembatalan tiga kejohanan sukan futsal dan bola sepak pantai Pembatalan melibatkan Piala Futsal Malaysia, Kejohanan Futsal B-19 Kebangsaan, dan Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan Keputusan dibuat berdasarkan faktor penyelarasan kalendar, komitmen pasukan, logistik dan infrastruktur FAM menafikan pembatalan ini sebagai langkah ke belakang untuk pembangunan futsal dan bola sepak pantai Pembatalan dilihat sebagai pendekatan strategik untuk perancangan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi dalam sukan






