Keputusan yang tak dapat dielakkan – Irfan Bakti

Keputusan yang tak dapat dielakkan – Irfan Bakti


ISKANDAR PUTERI: Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kekalahan 0-9 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, malam tadi sebagai satu keputusan yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Irfan Bakti, sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyekat kelab untuk mendaftar pemain baharu menjadi punca utama anak kekalahan tersebut.

Menurutnya, pengurusan sedia ada dan penaja utama terpaksa menanggung beban kesilapan pengurusan lama yang menyebabkan pasukan tidak dapat memperkuatkan skuad dengan rekrut baharu bagi mengharungi saingan Liga Super.

“Kami hanya ada 20 pemain dan dua daripadanya cedera. Hakikatnya, lebih separuh daripada pemain yang ada ini sebenarnya sudah mahu dilepaskan, tetapi disebabkan sekata FIFA, kami terpaksa panggil balik kerana tiada pilihan lain.

“Dalam skuad ini, hanya Abdul Latiff Suhaimi dan Mohd. Faiz Mohd. Nasir yang pernah beraksi di Liga Super, itu pun beberapa tahun yang lalu.

“Pemain-pemain lain masih baharu dan sejujurnya tahap mereka belum bersedia untuk bersaing di peringkat tertinggi seperti Liga Super, tambahan pula kita naik Liga secara merit,” katanya.

Irfan menegaskan perkara itu bukan satu alasan untuk menyerah kalah, sebaliknya berharap isu penggantungan tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin oleh pihak pengurusan.

“Ini cerita lama, zaman pengurusan terdahulu. Kasihan kepada pihak pengurusan sekarang dan penaja utama kami yang terpaksa menanggung masalah yang bukan berpunca daripada mereka,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan seterusnya menentang Kuching City, Irfan memberitahu pertembungan itu bakal berlangsung di venue berkecuali di Negeri Sembilan bagi aksi ‘laman sendiri’. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top