Tukun tiruan halang pencerobohan bot besar

Tukun tiruan halang pencerobohan bot besar


Pasir Puteh: Tukun tiruan bukan sahaja berperanan meningkatkan sumber perikanan, malah menjadi antara mekanisme bagi menghalang pencerobohan bot nelayan bersaiz besar di kawasan perairan berhampiran pantai.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Ismail Ibrahim berkata, struktur tukun yang dilabuhkan di dasar laut boleh menyebabkan peralatan menangkap ikan tersangkut, sekali gus membantu melindungi kawasan berkenaan.

“Apabila ikan datang, bertelur dan membesar, ia akan memberi manfaat kepada nelayan kita dan akhirnya kembali kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan pendaratan ikan serta menyokong keterjaminan makanan,” katanya kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kurniaan Sultan Kelantan di Perairan Negeri Kelantan di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, hari ini.

Ismail berkata, 30 tukun tiruan kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dilabuhkan kira-kira 4.6 batu nautika dari perairan Jeti Tok Bali, bagi mewujudkan kawasan konservasi serta habitat pembiakan dan pembesaran pelbagai spesies ikan.

Beliau berkata, tukun yang dilabuhkan itu adalah yang pertama menggunakan peruntukan kurniaan Sultan Kelantan bagi tujuan konservasi perikanan di negeri itu.

“Ini akan menjadi pusat konservasi dan pembiakan ikan. Kita akan memperbanyakkan lagi tukun tiruan di perairan Kelantan,” katanya.

Ismail berkata, sejak 2007, Jabatan Perikanan Kelantan sudah melabuhkan kira-kira 400 tukun tiruan di empat lokasi di negeri itu, manakala 72 unit lagi dilabuhkan secara berperingkat tahun ini.

Beliau berkata, tukun yang dilabuhkan pada jarak kurang lima batu nautika itu turut berperanan sebagai kawasan konservasi, dengan kesan pembiakan ikan dijangka mula dapat dilihat dalam tempoh kira-kira enam bulan, bergantung kepada keadaan serta proses ekosistem di kawasan berkenaan.

Katanya, jabatan itu turut melaksanakan pemantauan dan program pembersihan tukun secara berkala bagi mengeluarkan tali serta sisa peralatan menangkap ikan yang tersangkut pada struktur berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top