khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan 90 tangkapan dibuat mengikut Akta Hasutan pada tahun 2024 dan 2025.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu merangkumi 58 tangkapan tahun lalu dan 32 tangkapan pada 2024.
Katanya, 193 kertas siasatan dibuka, namun hanya 14 pertuduhan dibuat dalam tempoh yang sama.
Menurutnya, tiga pertuduhan dibuat pada tahun lalu manakala 11 pertuduhan dibuat pada tahun 2024.
“Peningkatan jumlah tangkapan adalah menifestasi ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani penyebaran kandungan sensitif yang melibatkan elemen agama, raja dan kaum (3R).
“Tindakan pantas juga diambil untuk mengekang naratif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau penghinaan terhadap institusi diraja sebelum ia menular secara ekstrem,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai justifikasi peningkatan ketara jumlah siasatan dan tangkapan yang dilakukan di bawah undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara pada tahun 2025 berbanding 2024.
Shamsul Anuar berkata, penurunan jumlah pertuduhan menunjukkan kerajaan amat berhati-hati dalam meneruskan pendakwaan.
“Setiap kes akan dinilai dengan begitu teliti oleh Pejabat Peguam Negara bagi memastikan hanya kes yang mempunyai bukti kukuh dibawa ke mahkamah manakala selebihnya diselesaikan melalui amaran atau pemantauan berterusan,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah tangkapan juga bertujuan untuk memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan merupakan lesen untuk memfitnah atau menghasut.
“Kerajaan sentiasa mengimbangi antara hak asasi individu dengan keperluan menjaga keselamatan nasional,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






