Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, tetap melihat usaha mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun sebagai langkah bersejarah walaupun gagal dalam undian di Dewan Rakyat semalam.
“Langkah berani ini merupakan kali pertama mana-mana perdana menteri ataupun presiden sebuah parti membawa cadangan seumpama ini ke Dewan Rakyat.
“Dan ini mencerminkan komitmen perdana menteri dan PKR kepada reformasi yang diterjemahkan kepada usaha yang sebenar,” katanya.

Amirudin Shari anggap hadkan 10 tahun PM langkah bersejarah
Dalam undian semalam, Rang Undang-Undang itu disokong 146 anggota parlimen, manakala 44 anggota parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (Bebas-Larut) berhujah bahawa had tempoh jawatan perdana menteri akan menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan bagaimanapun menolak dakwaan itu, menegaskan bahawa pindaan tersebut hanya memperkemas prinsip akauntabiliti pada jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan.
Artikel lain: Kurang dua undi! Anthony Loke gesa rakyat persoal ahli Parlimen tak hadir, sokong had 10 tahun PM
Amirudin berkata, kesemua 31 anggota parlimen PKR adalah sebahagian daripada 146 anggota parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan itu.
Bagaimanapun, katanya, ketidakhadiran 32 anggota parlimen serta 44 anggota parlimen pembangkang yang tidak mengundi menyebabkan usaha itu belum dapat direalisasikan.
“Ini menunjukkan bahawa proses dan tanggungjawab islah yang merupakan jiwa parti PKR tidak boleh dijayakan secara solo tetapi adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak,” katanya.
Menteri Besar Selangor merangkap anggota parlimen Gombak itu juga menekankan sisi positif daripada keputusan semalam.
“Semalam kita mungkin telah kehilangan peluang emas untuk merealisasikan mandat rakyat dengan hanya dua undi, tetapi keputusan ini turut menggambarkan bahawa tiada anggota parlimen yang menolak cadangan untuk tempoh perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun,” katanya.

Amirudin turut menyindir Perikatan Nasional (PN) sebagai belum berani meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan politik.
“Pada masa yang sama, ini turut merupakan peringatan kepada semua pihak dalam Kerajaan bahawa setiap anggota parlimen tidak boleh leka akan tanggungjawab hakiki, dan kita tidak seharusnya membenarkan satu insiden untuk melunturkan semangat kepada agenda reformasi demi kebaikan rakyat dan negara yang kita cintai ini,” katanya.
Sumber: FB Amirudin Shari






