Pelakon dan pengacara yang kini bergelar usahawan, Karl Shafek mengejutkan ramai pihak apabila dia gagal menahan sebak selepas produk kuah kacangnya habis terjual kurang daripada lima minit.
Menerusi perkongsian video berdurasi lebih tiga minit itu, Karl berkata, selama enam tahun dia tidak pernah mengalah untuk memperkenalkan produknya meskipun terdapat segelintir pihak yang kurang percaya dengan kemampuannya menjalankan perniagaan.
Malah, Karl atau nama lengkapnya, Khairul Shafek Ibrahim, 45, mengakui, dia amat terhutang budi kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana tidak pernah serik menyokong dan membeli produk kuah kacangnya.
“Selama ni saya buat kecil-kecil je. Saya start jual kuih raya tapi tak ramai orang percaya saya, semua orang ingat saya berniaga main-main.
“Enam tahun saya tunggu untuk orang kenal brandsaya. Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Datuk Siti kerana sentiasa sokong dan beli produk saya. Terima kasih semua, saya memang tak pernah terfikir produk saya habis terjual,” katanya.
@karlshafek Sepanjang beberapa hari ini, hati saya terasa sangat rapuh. Emosi datang dan pergi seperti ombak yang tidak pernah berhenti. Di tengah segala rasa itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Biduanita Negara, Dato Sri @Siti Nurhaliza . Tanpa disedari, beliau telah memberi satu sinar kepada perjalanan kecil saya melalui produk Pes Kuah Kacang dari jenama saya sendiri Khalish by Karl Shafek. Produk ini bukan lahir dari kemewahan. Ia lahir dari sebuah dapur kecil, dari usaha yang bermula sejak zaman kita semua terkurung ketika PKP. Dari situlah saya belajar bahawa harapan kadang-kadang bermula daripada perkara yang sangat sederhana. Menjelang Ramadan tempoh hari, hati saya dipenuhi kegelisahan. Beberapa pihak yang sebelum ini berhasrat untuk membantu akhirnya menarik diri pada saat-saat akhir. Namun saya tetap memilih untuk percaya. Saya tetap mahu meneruskan jualan Ramadan ini dengan apa sahaja yang saya ada. Setiap hari saya hanya meminta satu perkara daripada emak saya: “Mak, doakan supaya jualan saya sekurang-kurangnya berjalan lancar.” Dalam masa yang sama, saya juga terus berusaha menyiapkan content masakan saya #SANTAPwithKarlShafek, yang sudah saya mulakan sejak tahun 2019. Saya sedar saya bukan seorang artis nama besar. View kadang-kadang tidak besar, sambutan kadang-kadang tidak seperti yang diharapkan. Tetapi niat saya sebenarnya sangat sederhana, saya cuma mahu berkongsi resepi makanan yang saya sendiri suka makan, dan mudah-mudahan ia boleh memberi idea kepada sesiapa yang menonton. Dan akhirnya, Allah menulis cerita yang jauh lebih besar daripada apa yang saya minta. Sejak Sabtu lalu, setiap hari jualan sold out. Saya tidak menafikan, saya sedang melalui fasa hidup yang sangat mencabar. Tetapi apa yang berlaku hari ini memberi saya sesuatu yang hampir saya hilang sebelum ini; harapan. Terima kasih kepada setiap insan yang membeli, menyokong, dan mempercayai usaha kecil ini. Doa saya, semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kalian sebagaimana kalian telah mempermudahkan jalan saya untuk bangkit semula. Mudah-mudahan permulaan kecil ini menjadi pintu rahmat untuk langkah yang lebih besar selepas ini. Amin. #KhalishByKarlShafek #SANTAPwithKarlShafek ♬ original sound – Karl Shafek Ibrahim
Tidak habis disitu, menerusi ruangan komen, Siti sempat memberikan kata-kata semangat kepada Karl agar sentiasa percaya kepada rezeki kurniaan Tuhan selain menitipkan sentiasa berbuat baik dan tidak berputus asa.

Bersyukur dengan sokongan yang diberikan, Karl sempat menitipkan penghargaan buat pelantun lagu Kesuma itu yang sentiasa bersikap pemurah dan merendah diri.
“Penangan seorang bernama Siti Nurhaliza @ctdk. Dia terbang tinggi di langit, tapi tak pernah lupa memandang ke bawah sehingga orang kecil seperti saya terasa seolah-olah diberi sayap kecil untuk terbang juga.
“Sejak beberapa tahun lepas beliau menjadi pelanggan tetap kuah kacang @khalishbyks, dan kerana itu orang mula mengenali usaha kecil kami.
Dengan izin Allah SWT.
“Dia bukan sekadar memberi harapan kepada kami, tetapi kepada ramai usahawan kecil lain juga. Itulah Dato Sri Siti Nurhaliza,” luahnya.







