Aaron-Wooi Yik gagal akhiri kemarau 19 tahun di All England

Aaron-Wooi Yik gagal akhiri kemarau 19 tahun di All England


PETALING JAYA: Penantian panjang selama 19 tahun, tidak mampu dinoktahkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, setelah beregu lelaki No. 1 Malaysia itu tumpas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.

Gandingan No. 2 dunia itu terpaksa akur kepada pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-18, 12-21, 21-19 dalam masa 1 jam 3 minit.

Kekalahan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini semakin ketinggalan di belakang Won Ho-Seung Jae dengan rekod pertemuan 1-3.

Sebanyak lapan kali mara ke perlawanan akhir pada kejohanan Super 1,000, Aaron-Wooi Yik masih belum mampu menterjemahkannya kepada sebuah kemenangan.

Perlawanan akhir itu juga adalah yang ketiga buat mereka pada All England dan sejak edisi 2019, 2024 serta 2026, Aaron-Wooi Yik hanya mampu membawa pulang gelaran naib juara.

Sebagai pemenang pingat perak, beregu negara itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$50,750 (RM200,271) beserta trofi.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran juara pada kejohanan tertua di dunia itu adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang dilakukan mereka pada 2007.

Ini merupakan kekalahan kedua Aaron-Wooi Yik kepada Won Ho-Seung Jae, musim ini, selepas mereka turut kecundang pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia.

Bagi Won Ho-Seung Jae, mereka merupakan juara bertahan All England dan kemenangan itu juga adalah yang kedua pada kejohanan Super 1,000 untuk musim 2026. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top